AKSI Ahmad Dhani di atas pentas. FOTO Hazreen Mohammad
AKSI Ahmad Dhani di atas pentas. FOTO Hazreen Mohammad
Ridzuan Abdul Rahman


KEMUNCULAN penyanyi dan pemuzik legenda Indonesia, Ahmad Dhani menerusi persembahan 'Malam Munajat Cinta' sempena penutup Festival Garden Of Eid (GOE) di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini sememangnya ditunggu-tunggu peminat.

Justeru tidak hairanlah mereka hadir beramai-ramai memenuhi segenap ruang tempat duduk di Panggung Anniversari.

Sesuai dengan temanya iaitu festival bersifat Islamik, santai dan menghiburkan, kehadiran penonton tidak tertumpu kepada satu golongan sahaja tetapi merangkumi semua golongan termasuk kanak-kanak yang dibawa ibu bapa masing-masing.

Acara konsert berlangsung selama dua malam itu agak berlainan apabila tampil menggunakan khidmat pemuzik perkusi yang ternyata membawakan 'vibe' berbeza dalam susunan muzik setiap artis termasuk Ahmad Dhani.

Pemain keyboard dan penyanyi Dewa 19 ini tampil dengan lagu religi pertamanya berjudul Satu. Agak menakjubkan kerana seawal lagu pertama lagi, penonton sudah menyanyi bersama-sama Ahmad Dhani.

Dia kemudian menyampaikan lagu Jika Cinta Allah dan Jika Surga Dan Neraka Tak Pernah Ada. Setiap kali menyanyikan sesebuah lagu, Ahmad Dhani pasti akan bercerita kisah disebalik penghasilan lagu terbabit.

Nyanyian diteruskan lagi dengan lagu Iman, Kuldesak dan Persembahan Dari Surga.

Ahmad Dhani hiburkan pelbagai lapisan peminat sempena Festival  GOE baru-baru ini.  FOTO Hazreen Mohammad
Ahmad Dhani hiburkan pelbagai lapisan peminat sempena Festival GOE baru-baru ini. FOTO Hazreen Mohammad

Semasa berceloteh dengan penonton, Ahmad Dhani mengakui ini adalah pengalaman pertamanya membuat persembahan diiringi pemuzik perkusi.

"Pertama kali saya menyanyi tanpa ada pemain gitar, bass dan keyboard. Satu pengalaman baru juga sebenarnya," katanya.

Ahmad Dhani seterusnya tampil dengan dua lagu terakhir iaitu Hadapi Dengan Senyuman dan Munajat Cinta. Tentunya, peminat tidak perlu dipaksa untuk sama-sama menyanyikan lagu ini bersama Ahmad Dhani. Biarpun persembahan yang ditampilkan agak singkat, mereka tetap pulang dengan wajah yang puas.

Apa yang pasti Konsert GOE membuahkan inspirasi kepada Ahmad Dhani untuk menghasilkan sebuah album dengan konsep yang sama iaitu hanya dengan permainan perkusi dan tanpa sebarang instrumen bertali atau string.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 6:07 AM