LOKMAN Arief berpenampilan persis Ahmad Dhani. FOTO Ihsan Lokman Arief Zahari Sham
LOKMAN Arief berpenampilan persis Ahmad Dhani. FOTO Ihsan Lokman Arief Zahari Sham
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Selepas dua minggu konsert Dewa 19 di ibu kota berlalu, hidup Lokman Arief Zahari Sham sedikit berubah apabila penampilannya dikatakan persis pemuzik terkenal Indonesia yang juga peneraju kumpulan itu, Ahmad Dhani.

Menyorot kembali kenangan itu, Lokman, 37, berkata, imejnya berkepala botak dan berjanggut panjang sejak lima tahun lalu sememangnya dibuat kerana minat mendalam terhadap Ahmad Dhani.

Katanya, dia terkejut apabila ada pengunjung konsert Dewa 19 di ibu kota baru-baru ini menyapanya dan dikatakan hampir sama dengan Ahmad Dhani.

"Saya ditegur ketika sedang asyik melayan konsert Dewa 19 di Bukit Jalil baru-baru ini kerana dikatakan 'copy ori' Ahmad Dhani.

"Imej botak dan berjanggut panjang ini sudah lima tahun tapi tidak sangka tular baru-baru ini kerana dikatakan persis Ahmad Dhani.

"Saya hanya tersenyum apabila dikatakan sedemikian tapi rupanya video ketika sedang melayan konsert Dewa 19 tular pula," katanya kepada Harian Metro.

Pemuda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu tidak menyangka ramai peminat Dewa 19 ajak bergambar sebaik tamat konsert berkenaan.

Katanya, ada yang menganggap bergambar dengannya sudah memadai kerana pasti mustahil untuk mendapat kesempatan itu bersama Ahmad Dhani.

"Saya layankan saja sesiapa yang ajak bergambar kerana anggap itu sekadar memenuhi impian mereka.

"Sejak tular, saya juga menerima beberapa undangan media untuk ditemu bual," katanya yang bekerja sebagai krew produksi.

Lokman berkata, besar harapannya jika satu hari nanti dapat bertentang mata dan bergambar sendiri dengan Ahmad Dhani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 5:06 PM