DAFI
DAFI
Sudirman Mohd Tahir


Tahun ini genap 10 tahun pembabitan penyanyi dan pelakon Dafi dalam bidang seni tanah air.

Menariknya sepanjang tempoh itu Dafi sudah tujuh kali terbabit dalam pementasan teater di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Terbaru, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 29, diberi peluang menjayakan teater Dia Semanis Honey Musical (DSHM) yang berakhir semalam.

Dafi berkata, dia semakin seronok berlakon teater biarpun sekadar diberi watak pembantu.

“Sejak kali pertama berlakon teater lagi saya sudah jatuh cinta. Apabila diberikan tawaran lain, saya tak berfikir panjang untuk terima. Walaupun bukan pelakon utama, tapi bagi saya ia satu peluang yang bukan semua orang boleh dapat.

“Menerusi teater saya belajar banyak perkara terutama dari segi persembahan pentas. Malah berlakon teater juga mengajar saya berfikir secara lebih kreatif sekali gus meningkatkan mutu lakonan,” katanya.

Dafi yang juga bintang program realiti Akademi Fantasia musim kelima mengakui lebih puas beraksi di pentas teater.

Latihan selama sebulan yang diberikan sebelum menjayakan sesuatu teater itu cukup untuk Dafi mempamer persembahan mantap.

“Kalau berlakon drama tak banyak latihan yang boleh dilakukan. Disebabkan itu kita tak boleh tahu sejauh mana mutu lakonan. Namun, berbeza dengan teater apabila latihan diberikan itu membolehkan saya memperbaiki setiap kelemahan.

“Malah saya lebih selesa dan seronok berlakon secara langsung di hadapan penonton. Dari situ peminat boleh menilai,” katanya.

Lebih membanggakan Dafi juga apabila dia satu-satunya pelakon teater yang paling berpengalaman dalam DSHM jika mahu dibandingkan dengan pelakon lain.

Dafi juga memaklumkan seboleh-bolehnya dia mahu berlakon teater sekali dalam setahun.

Bekerjasama dengan Ahmad Dhani

Bersempena sedekad Dafi dalam bidang seni, dia juga bakal tampil dengan album ketiga yang menggunakan khidmat komposer dan penyanyi ternama Indonesia, Ahmad Dhani.

Mengikut perancangan, album itu sepatutnya dilancarkan tahun lalu namun disebabkan beberapa masalah ia ditangguh ke tahun ini.

“Ada bagusnya juga album itu ditangguh ke tahun ini. Sekurang-kurangnya ia boleh dilancarkan sekali dengan sambutan ulang tahun ke-10 pembabitan saya dalam bidang seni.

“Semua lagu siap dirakam Julai tahun lalu. Dalam album ini juga terdapat satu lagu yang saya berduet dengan penyanyi di sana iaitu Bilanova berjudul Masihkah Kamu. Lagu itu adalah single pertama daripada album ini,” katanya.

Dafi berkata, album barunya ini mendapat tajaan daripada pihak di sana dan memilih Ahmad Dhani sebagai komposer dan penerbit.

Dalam perkembangan lain, Dafi sekali lagi bakal bekerjasama dengan produksi sama yang menerbitkan drama Dia Semanis Honey menerusi drama Pengantin Musim Salju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:04 AM