Kuala Lumpur: Penyanyi Dafi mengesahkan dia bakal mengikat kontrak rakaman selama setahun bersama komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ahmad Dhani.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 26, yang dihubungi berkata, dia kini berada di Indonesia untuk berbincang lebih lanjut dengan pengasas kumpulan rock Dewa 19 itu sebelum memeterai perjanjian.

“Saya akan berada di sini dalam dua atau tiga hari. Setakat ini, saya boleh katakan perkara ini hampir jadi. Ada beberapa aspek yang perlu kami bincangkan antara kedua-dua pihak.

“Kita kena tengok juga (kontrak) agar kedua-dua pihak mendapat faedah bersama. Insya-Allah jika semuanya memuaskan, rasanya tak ada masalah untuk kita teruskan perjanjian,” katanya.

Menurut Dafi, perjanjian antara mereka bermula kira-kira dua tahun lalu ketika dia berada di Jakarta untuk komitmen pengacaraan program di sana.

Katanya, ketika itu dia pernah bertemu dan berbincang dengan Ahmad Dhani mengenai perancangan itu, namun ia tergendala sejurus pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, di luar pengetahuannya komposer disegani itu berminat meneruskan perjanjian terbabit walaupun kedua-duanya sibuk dengan komitmen seni masing-masing.

Pada awal tahun ini, mereka kembali berkomunikasi untuk perkembangan selanjutnya. Difahamkan, Ahmad Dhani sudah menyiapkan beberapa lagu yang bakal dirakamkan Dafi terbitan syarikat komposer itu, Republik Cinta Management.

Tambahnya, berikutan itu dia bakal memasarkan album terbitan komposer berkenaan untuk pasaran Indonesia yang dijangka muncul pada awal tahun depan.

“Macam saya katakan tadi, kalau semuanya berjalan seperti dirancang saya juga akan keluarkan album untuk pasaran di sini.

“Kebetulan juga pada bulan ini album saya untuk pasaran Malaysia pula akan dipasarkan. Jadi saya akan ada dua album berbeza untuk kedua-dua pasaran ini dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 8:37 AM