Man Tobey mengalami kecederaan (gambar kiri). Man Tobey bersama keluarga (dua kanan).
Man Tobey mengalami kecederaan (gambar kiri). Man Tobey bersama keluarga (dua kanan).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas pemain bass kumpulan rock Tragedy (kemudian dikenali sebagai XPDC), Garuda dan Meditasi, Man Tobey, 57, kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang akibat kemalangan jalan raya pada 30 Mei lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Templer-Rawang sekitar jam 10 pagi itu, Man Tobey atau nama sebenarnya Yahya Rashid sedang menunggang motosikal dari arah Selayang untuk pulang ke rumahnya di Rawang.

Anak keduanya, Nur Anis Sofea, 22, yang dihubungi berkata, ayahnya mengalami kemalangan terbabit semasa pulang dari Pasar Selayang untuk berniaga di kedai runcit di kawasan kediamannya di Rawang.

"Ayah akan ambil barang berniaga di Pasar Selayang dan selalunya akan sampai di kedai jam 9 pagi. Namun pada hari kejadian dia masih belum pulang walaupun sudah jam 10 pagi.

"Saya kemudian menerima panggilan dari seorang rakan memberitahu ayah kemalangan di lokasi itu membabitkan sebuah treler.

"Saya bergegas ke lokasi dan mendapati ayah sudah dibawa ke hospital dengan ambulans dan hanya motosikalnya yang tinggal bersama barangan untuk jualan," katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku semasa kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dari arah yang sama di jalan terbabit.

"Ayah mulanya ditempatkan di Zon Merah dan dalam keadaan sedar. Doktor kemudian buat ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetic (MRI).

"Ketika itu ayah dah tak sedar. Pernafasannya menurun dan doktor beritahu tulang belakang, leher dan tangan kirinya patah. Tulang belakang ayah dah tutup saluran pernafasan sehingga terpaksa guna mesin bantuan.

"Ayah terpaksa ditidurkan selama tiga hari dan doktor buat pembedahan buang tiga batang tulang belakang kerana ingin memberi ruang pada saluran pernafasannya," katanya.

Menurutnya keluarga mereka sedih apabila diberitahu risiko Man Tobey akan lumpuh selamanya. "Semalam doktor hubungi ibu saya beritahu ayah masih belum stabil untuk bernafas dan kena menjalani pembedahan kedua iaitu menebuk leher untuk pasang alat pernafasan.

"Luluh hati saya apabila risikonya ayah tak mampu untuk bercakap selepas ini sedangkan dia adalah penghibur keluarga kami.

"Dia suka menyanyi untuk hiburkan kami serta bilal di surau kediaman kami. Apapun kami kena reda dengan ujian Allah.

"Keadaan ayah sekarang stabil dan dah sedar. Dia boleh dengar apa yang kita cakap tapi tak boleh membalas," katanya yang meminta peminat agar mendoakan kesembuhan ayahnya.

Situasi Man Tobey kini dipantau oleh isterinya Zamidah Ishak, 61, dan dua anak, Nurul Fatin Athirah, 24, dan Nur Anis Sofea, 22.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 1:14 PM