Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan dua pekerja kilang penyelenggaraan jentera di kawasan industri Sungai Gong bagi mengenal pasti siapa yang melepaskan pelarut ke sungai sehingga menyebabkan pencemaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua suspek berusia 20 hingga 57 tahun ditahan di kediaman masing-masing malam tadi.

"Kedua-dua mereka adalah warga tempatan dan pekerja syarikat berkenaan.

"Ia adalah (penahanan) membantu pihak kami bagi mengesan siapa individu yang melepaskan pelarut ke Sungai Gong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu dua pekerja sebuah kilang ditahan reman enam hari mulai hari ini berhubung kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan ke atas kedua-dua suspek lelaki berusia 20 dan 57 tahun oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 9.15 pagi ini selepas ditahan semalam di sebuah premis di Jalan Batu Arang, Rawang.

Mereka ditahan reman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Pada 5 September lalu, empat pengurus kilang direman enam hari sehingga Khamis ini berhubung kejadian sama mengikut seksyen sama.

Kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 yang juga adik beradik menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka.

Susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 September lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Berita berkaitan

Pencemaran Sungai Gong: Dua pekerja kilang direman enam hari

Kilang haram penyebab pencemaran sungai sudah beroperasi 6 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 2:52 PM