SAARI. FOTO Arkib NSTP
SAARI. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Komposer terkenal, Saari Amri bersetuju sekiranya kutipan royalti yang diterima waris pencipta lagu dan lirik kekal selama-lamanya untuk mereka.

Saari, 56, berkata, setiap karya yang dihasilkan oleh pencipta adalah hak individu itu dan tidak sepatutnya mempunyai tempoh tertentu.

"Pandangan saya biarlah kekal sampai bila-bila. Lagipun itu hak kita sebagai pencipta asal. Kalau saya sudah tiada, duit royalti itu boleh diwarisi oleh isteri, anak-anak serta cucu nanti.

"Kenapa perlu dihadkan kontrak royalti yang diterima waris. Jika sesebuah lagu itu terus dimainkan dalam tempoh yang panjang, biarlah ia kekal diberikan kepada waris untuk menikmatinya melainkan tiada siapa yang menuntut," katanya.

NORA. FOTO Arkib NSTP
NORA. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, penyanyi Datuk Nora Ariffin yang kini menerima wang royalti daripada bekas suaminya yang juga komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi berkata, tidak wajar sekiranya wang hasil karya daripada pencipta dihadkan kepada satu tempoh tertentu.

"Selepas pemergian Johan, bukan saya seorang saja yang menerima kutipan royalti daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP), sebaliknya dibahagikan mengikut faraid. Anak-anak saya turut menerima hasil karya bapanya.

"Bagi saya, hasil karya pencipta wajar disalurkan kepada waris sampai bila-bila. Kalau kita lihat sehingga hari ini lagu karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih dimainkan dan memang wajar warisnya mendapat royalti.

"Kenapa perlu hadkan tempoh kontrak royalti ini? Selagi lagu itu masih dimainkan dan laku, berilah kutipan royalti itu kepada waris kerana ini saja pendapatan yang diterima waris kerana karyawan tiada wang pencen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 3:43 PM