Norkhayati Mohd Hashim
Norkhayati Mohd Hashim
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Kelarai Sakti Publishing Sdn Bhd, Norkhayati Mohd Hashim memohon kerajaan untuk membawa isu tempoh perlindungan hak cipta yang diberikan kepada waris selama 50 tahun selepas kematian pencipta sesebuah karya seni ke Parlimen.

Norkhayati yang juga penulis lirik dikenali dengan nama Baiduri berkata, sebagai penjaga hak cipta pengkarya seni di Kelarai Sakti Publishing dan penulis lirik, dia amat berharap sekiranya kontrak royalti hak cipta ditambah kepada 70 tahun.

"Syarikat kami menyediakan perkhidmatan pengedaran sekali gus bertindak menjaga hak cipta karya dan tarikh perjanjian didaftarkan sehingga 50 tahun yang boleh diperoleh waris. Selepas itu, karya terbabit akan menjadi 'public domain'.

"Jadi kalau boleh saya mohon hak cipta dilanjutkan sehingga 70 tahun supaya wang royalti akan terus disalurkan kepada waris pencipta. Kalau kita lihat negara-negara luar seperti Indonesia, Singapura mahu pun Amerika Syarikat sudah menambah tempoh kontrak royalti yang diberikan kepada waris pencipta kepada 70 tahun.

"Saya berharap isu ini dapat diangkat ke Parlimen sekali gus mencari satu titik penyelesaian supaya isu yang berlaku kepada anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali tidak terjadi kepada pencipta lain yang sudah meninggal dunia seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, S Sudarmaji, Jamil Sulong, Johan Nawawi, Datuk Adnan Abu Hassan dan Loloq pada masa mendatang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Norkhayati, sepatutnya wang royalti ini wajar untuk diberikan kepada waris dalam tempoh yang panjang kerana wang yang diterima sekali dalam setahun itu membuktikan karya terbabit terus hidup dan masih mendapat perhatian.

"Sayang sekali kalau karya pencipta sudah menjadi 'public domain' sedangkan waris pencipta sesebuah karya itu masih lagi hidup.

"Biarlah waris itu menikmati hasil usaha dan kerja keras pencipta yang pernah mengharumkan nama industri seni tanah air suatu ketika dahulu. Kadang-kadang dengan wang royalti yang diterima, waris dapat menggunakannya untuk keperluan harian sebab bukan semua orang hidup senang dengan hasil kerja seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 4:52 PM