Sazali
Sazali
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) bersedia untuk membincangkan dan memperhalusi isu penamatan perlindungan hak cipta karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang tempoh matangnya akan berakhir tahun depan apabila mencecah 50 tahun.

Menerusi kenyataan dikeluarkan MACP kepada Harian Metro, badan pengutip royalti berdaftar itu menjelaskan tempoh matang perlindungan royalti P Ramlee adalah di bawah perlindungan Akta Hak Cipta 1987.

"Merujuk kepada beberapa laporan akhbar sekitar isu penamatan perlindungan hak cipta karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee, MACP mengambil maklum mengenai isu berkenaan. Barisan Pengarah serta Pengurusan Tertinggi MACP yang dipimpin oleh Pengerusi Datuk M Nasir akan membincangkan dan memperhalusi isu ini.

"Sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan, merujuk kepada Akta Hak Cipta 1987, sesebuah karya mendapat jaminan perlindungan MACP dan hak cipta sepanjang hayat hidup pencipta serta tambahan 50 tahun selepas kematian pencipta tersebut.

"Untuk pembayaran royalti selepas tamat tempoh matang perlindungan hak cipta sebagaimana digariskan dalam perlembagaan hak cipta, perkara ini jelas akan memberi implikasi yang besar kepada ahli-ahli MACP terutamanya membabitkan royalti Allahyarham Tan Sri P Ramlee," tulis kenyataan itu.

Justeru, MACP juga memaklumkan pihak mereka memerlukan tempoh masa sewajarnya bagi meneliti semula

perkara berkenaan bersama-sama pihak kerajaan.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan luahan hati anak Allahyarham P Ramlee iaitu Sazali, 63, yang buntu apabila kontrak royalti karya bapanya yang diperoleh daripada MACP selama ini bakal tamat tahun depan.

"Kalau duit royalti sudah tiada kehidupan saya dan isteri akan susah.

"Selama ini, saya bergantung hidup dengan duit royalti itu untuk buat beli barangan dapur, pengangkutan ke hospital, rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan, temujanji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri," katanya.

Sazali yang mendirikan rumah tangga dengan isteri, Hamidah Hitam tidak dikurniakan cahaya mata.

Jadi, katanya dia hendak minta tolong kepada siapa apabila kontrak royalti MACP itu bakal tamat tahun depan.

Menurut Sazali, meskipun dia dan isteri menerima bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan mereka.

Terdahulu selepas P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, royalti daripada karya lagunya yang diurus MACP diperoleh isteri, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Selepas Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983, royalti daripada MACP itu diberikan pula kepada anaknya, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti MACP masih diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali sehingga mencapai tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.

Oleh itu, dari 1973 sehingga tahun ini, kontrak royalti berkenaan sudah berlangsung selama 49 tahun dan kini berbaki kira-kira setahun saja lagi untuk tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:56 PM