Sazali P. Ramlee
Sazali P. Ramlee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Kalau boleh, selagi masih hidup saya nak rasa duit royalti lagu arwah bapa saya yang sehingga kini dimainkan di stesen radio dan televisyen," kata anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 63, yang berharap wang royalti karya bapanya daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) selama ini terus dinikmati.

Sazali berkata, dia menyeru kepada kerajaan dan pihak bertanggungjawab untuk menambah tempoh perlindungan hak cipta sekurang-kurangnya tujuh tahun lagi.

"Hidup dan mati adalah rahsia Allah, tapi di usia sekarang ini saya sedar umur pun mungkin dah tak panjang. Jadi, selagi masih hidup saya berharap dan menanti berita gembira agar tempoh royalti arwah bapa saya terus dinikmati untuk tempoh sekurang-kurangnya tujuh tahun lagi.

"Duit royalti ini bukan untuk saya hidup bermewah-mewah, sebaliknya saya perlukannya untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana kesihatan saya dan isteri tidak berapa baik.

"Kami sekarang kerap ke hospital untuk bertemu doktor dan setiap kali ke hospital perlu guna wang untuk pengangkutan. Selain itu, kos hidup di sini juga semakin tinggi dengan harga barang yang semakin naik," katanya.

Menurut Sazali, sejak berita mengenai royalti P Ramlee yang bakal tamat tempoh tahun depan, dia mengaku dihujani panggilan telefon daripada pelbagai pihak, namun masih belum mendapat rezeki bantuan.

"Ramai yang menghubungi bertanya khabar dan mengambil berat mengenai keadaan saya dan isteri. Cuma dari sudut bantuan belum ada rezeki lagi. Jujurnya saya perlukan bantuan berbentuk kewangan untuk membeli barangan keperluan harian dan pengangkutan. Sekiranya ada pihak atasan termasuk menteri nak jumpa, saya sedia beri kerjasama dan berbesar hati," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan luahan hati Sazali yang buntu apabila kontrak royalti karya bapanya yang diperoleh daripada MACP selama ini bakal tamat tahun depan.

Dalam pada itu, beberapa pihak termasuk persatuan hiburan dan artis memohon kerajaan mempertimbangkan supaya tempoh perlindungan hak cipta dinaikkan kepada 70 tahun berbanding 50 tahun ketika ini atau waris boleh menerima royalti selama-lamanya.

MACP pula bersedia untuk membincangkan dan memperhalusi isu berkenaan bersama kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 1:07 PM