HARAP peminat menerima Bukan Milikmu seperti single pertamanya Luka Dan Bahagia sebelum ini.
HARAP peminat menerima Bukan Milikmu seperti single pertamanya Luka Dan Bahagia sebelum ini.
Zaara Talita


KEMBALI mengubati kerinduan peminat, penyanyi kelahiran Korea Selatan, Han Byul tampil dengan single balada dwibahasa Melayu-Korea berjudul Bukan Milikku.

Han yang baharu selesai menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk Lecturerku Oppa yang bakal ditayangkan di WeTV iFlix berkata, lagu itu dirakamkan tahun lalu.

"Proses rakaman Bukan Milikku hanya sejam. Proses adunan dan mastering pula memakan masa dua minggu.

"Dalam lagu ini, saya turut menyelitkan beberapa bait lirik dalam bahasa Korea yang disesuaikan dengan cara nyanyian ala Korea bagi menambah 'feel' terhadap lagu ini," katanya.

Jika diamati, lagu balada dalam nuansa teaterikal ini sarat dengan elemen muzik seperti 'OST (runut bunyi) ala drama Korea'.

Melodi yang dicipta juga pasti menggamit perasaan disulami pula dengan susunan muziknya yang membuai perasaan seakan-akan membawa anda ke Pulau Jeju.

Bukan Milikku adalah hasil ciptaan Hazama dan Omar K serta diterbitkan Warner Music Malaysia.

"Sebenarnya idea di sebalik pembikinan lagu ini tercetus ketika Hazama dan saya melakukan penggambaran telemovie pada Mei tahun lalu.

"Dia ada menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dalam sebuah lagu. Selepas mendengar beberapa demo, hati saya terus terpaut pada Bukan Milikmu," katanya.

Perjalanan seni Han Byul atau nama sebenarnya Jang Han-Byul bermula lebih sedekad lalu ketika dia pertama kali menjejakkan kaki di sebuah syarikat rakaman terkenal di Korea Selatan.

"Ketika itu saya bersiap sedia untuk memperkenalkan diri sebagai seorang daripada ahli kumpulan K-pop, Led Apple pada 2011.

"Namun, segala-galanya berubah sehingga saya menjadi juara Big Stage 2019. Kini Malaysia adalah rumah kedua saya kerana kebanyakan peminat saya adalah dari sini.

"Walaupun saya mempunyai peminat di serata dunia, hati saya tetap di sini kerana sokongan peminat Malaysia (Twinklers) sangat mengharukan.

"Mereka penyebab terbesar mengapa saya ingin mempelajari lebih banyak mengenai bahasa Melayu, budaya dan segala-galanya.

"Apa yang saya lakukan adalah kerana peminat dan sudah pastinya saya mahu berikan yang terbaik buat mereka dan bukan ala kadar kerana setiap yang dihasilkan adalah dari hati," katanya.

Han Byul mengharapkan peminat menerima Bukan Milikmu seperti single pertamanya Luka Dan Bahagia mendapat sambutan yang baik dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 6:45 AM