JUARA Big Stage musim kedua, Han-Byul (tengah) bersama Neeta (kanan) dan Adzrin.
JUARA Big Stage musim kedua, Han-Byul (tengah) bersama Neeta (kanan) dan Adzrin.
Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENTAS Big Stage musim kedua melabuhkan tirainya Ahad lalu menyaksikan penyanyi dari Korea Selatan, Han-Byul dinobatkan juara.

Jika dilihat dari sudut persembahan Han-Byul setiap minggu, dia antara peserta Big Stage yang konsisten dan tidak kekok mencuba idea baharu.

Di pentas akhir Big Stage, penyanyi berusia 29 tahun itu tampil mempersembahkan dua lagu iaitu Lose Yourself yang pernah dipopularkan oleh Eminem diikuti single baharu, Luka dan Bahagia ciptaan Haqiem Rusli.

Kemenangannya itu melayakkan Han-Byul membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, kereta

Perodua Axia Style, telefon pintar Vivo V17 Pro dan trofi sumbangan Astro.

Han-Byul ketika ditemui berkata, dia tidak menjangkakan kemenangan itu apabila mengambil risiko menyampaikan lagu yang bukan dalam zon selesanya.

“Lagu Lose Yourself bukan dalam zon selesa saya. Namun, saya cabar diri kerana mahu tampilkan kelainan dalam setiap persembahan.

“Selepas ini, saya akan berada di Malaysia bagi menyelesaikan tugasan dan temu bual dengan beberapa program. Malaysia sudah jadi rumah pertama saya dan kalau pulang ke Korea Selatan pun, tentunya saya akan merindui Malaysia,” katanya.

SITI Nurhaliza turut membuat persembahan.
SITI Nurhaliza turut membuat persembahan.

Turut bertanding di pentas akhir ialah Neeta Manisha yang mempamerkan persembahan memukau, sekali gus melayakkan memenangi tempat kedua.

Neesha yang juga vokalis band IAmNeeta membawakan lagu tugasan berjudul I Wanna Dance With Somebody yang pernah dipopularkan Whitney Houston dan lagu baharu, Ruang Mimpi ciptaan Becky Zulkepli.

Menerusi kemenangan itu, Neeta menerima hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi. Tempat ketiga disandang Adzrin yang menyampaikan lagu All Of Me nyanyian asal John Legend dan lagu baharu berjudul Picisan ciptaan Farouk Roman.

Adzrin berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Irfan Haris dan Dinda Permata pula hanya mampu berpuas hati di tempat keempat serta kelima. Irfan dan Dinda masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya menerima wang tunai RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.

Juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap persaingan dalam Big Stage musim kedua ini sangat sihat.

“Kita membuka peluang kepada peserta dari luar negara dan kerana itu persaingan menjadi lebih sihat. Pemarkahan yang telus membuktikan tak semestinya peserta dari negara kita yang akan bergelar juara kerana ia berdasarkan kualiti bakat mereka,” katanya.

PERSEMBAHAN Neeta.
PERSEMBAHAN Neeta.

Seorang lagi juri tetap, Cakra Khan pula mengharapkan semua peserta Big Stage kali ini akan terus berkembang dalam industri.

“Harapan saya, semoga mereka semua dapat berkembang dan tidak hanya berhenti dalam pertandingan ini saja,” katanya.

Selain Siti dan Cakra, kerusi juri jemputan diisi Misha Omar yang turut menyumbang kepada markah semua peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:10 AM