MUNA jana pendapatan menerusi permainan PUBG.
MUNA jana pendapatan menerusi permainan PUBG.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik ke-35 tahun lalu menerusi lagu Teguh Setia, nama Muna Shahirah, 27, semakin dikenali dan mendapat tempat di hati peminat industri seni tanah air.

Nama Muna disebut-sebut kerana mampu membuat persembahan yang baik selain dapat menyanyi dengan vokal yang mantap.

Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana lagu itu tidak tersenarai ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu.

Teguh Setia adalah single kedua Muna selepas lagu Takdir Cinta. Kemudian Muna muncul pula dengan single ketiga berjudul Suratan Luka sebelum berduet bersama Zack Zakwan menerusi single, Bagaimana.

Biarpun negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Pelan Pemulihan Negara (PPN), ia bukan halangan untuk Muna menghasilkan single terbaharu berjudul Bukan Milikku yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai lalu.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik oleh Ikhwan Fatanna itu sekali lagi mencabar vokal Muna dalam genre balada.

"Sebenarnya saya gementar juga nak lancarkan single baharu dalam waktu PKP ini. Saya bimbang dikatakan tidak prihatin dengan keadaan semasa. Tapi, memandangkan ia adalah tuntutan kerja, jadi saya terpaksa lunaskan tanggungjawab saya pada syarikat rakaman dan untuk peminat.

"Bukan saya tidak mahu tukar genre lagu, tetapi sudah selesa dengan lagu yang berkonsepkan balada di samping ia cadangan dari syarikat rakaman FMC Music. Selepas ini kalau diberi peluang saya teringin nak bawakan lagu berkonsepkan pop seperti lagu Nabila Razali, Pematah Hati," katanya.

Bercakap mengenai PKP dan keadaan semasa yang menjejaskan sumber pendapatan banyak pihak bukan saja industri hiburan, Muna berpendapat bahawa dalam situasi yang sebegini setiap orang harus bijak mencari peluang lain.

MUNA melancarkan single baharu, Bukan Milikku.
MUNA melancarkan single baharu, Bukan Milikku.

"Sejak PKP tawaran persembahan sudah tiada dan program TV juga terbatas. Ini sangat menjejaskan pendapatan anak-anak seni seperti saya. Namun, saya bersyukur kerana sejak PKP 1.0 lagi saya sudah berjinak-jinak menceburkan diri dengan permainan PUBG.

"Pada mulanya sekadar suka-suka bermain di telefon pintar. Lama-kelamaan saya mula belajar sendiri melalui YouTube tanpa bimbingan sesiapa. Kemudian saya mula strim PUBG melalui Facebook menggunakan komputer. Tidak menjangka jalan saya dipermudahkan Allah. Kini jumlah 'followers' saya mencecah hampir 500,000 di Facebook," katanya.

Menurut Muna, permainan PUBG bukan sahaja menghasilkan pendapatan buat dirinya, malah turut membuka jaringan pengikut dan peminat baharu.

"Pada mulanya ramai tak tahu saya penyanyi, tetapi sewaktu sesi siaran langsung streaming kami bersembang sambil layan PUBG. Saya sajalah menyanyi, kemudian ada yang tegur suara saya sedap. Mereka mula bertanya adakah saya penyanyi. Jadi, saya pun gunakan peluang itu untuk mempromosikan lagu saya di YouTube. Dari situ bertambahlah kenalan dan peminat saya di Facebook.

"Saya melihat perkara ini dari sudut positif dan berbeza apabila saya mula nampak bahawa permainan ini bukan sahaja boleh menjana pendapatan malah ia membantu saya untuk mempromosikan lagu di samping minta 'followers' yang turut serta dalam PUBG untuk undi lagu saya.

"Alhamdulillah mereka sangat baik dan tidak keberatan untuk bantu saya. Sekarang saya sudah ada peminat yang berumur tujuh tahun. Mereka tidak sabar nak tonton video muzik Bukan Milikku dan mendengar lagu baharu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:30 AM