HAN Byul kini aktif berlakon dan menyanyi di Malaysia.
HAN Byul kini aktif berlakon dan menyanyi di Malaysia.
Zaara Talita


JIKA ada segelintir pihak tertekan hidup pada era penularan pandemik Covid-19 yang mengekang aktiviti ini, penyanyi dari Korea Selatan dikenali sebagai Han Byul pula mempunyai perasaan berbeza.

Juara musim kedua program realiti Big Stage itu menjelaskan, tidak pernah timbul rasa ralat dalam dirinya biarpun terpaksa 'terperuk' begitu lama di rumah berbanding keluar bersama rakan-rakannya.

"Saya bukan jenis yang sering keluar melepak dan sebagainya. Jadi, saya lebih gemar duduk di rumah kerana banyak aktiviti yang dapat dilakukan. Secara semula jadinya, itu adalah sikap sebenar diri saya sejak dulu.

"Boleh dikatakan sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sudah terlebih dulu melakukannya. Oleh itu, saya tidak mempunyai masalah apabila diminta untuk tidak keluar rumah.

"Cuma apabila perlu keluar untuk bekerja dan melakukan promosi sebagainya, itu adalah satu kewajipan. Secara peribadi, saya adalah individu yang selesa 'melepak' di rumah," katanya.

Penyanyi lagu Luka dan Bahagia itu, bagaimanapun pulang ke Gangnam, Seoul, Korea Selatan selama setahun dan kembali lagi ke Malaysia pada Mac tahun lalu.

Berbeza dengan perancangan tahun lalu, Han Byul menjelaskan, kali ini dia ingin memberikan tumpuan terhadap kerjaya seninya di sini dengan komited dan lebih serius.

Teruja pulang ke Malaysia yang dianggap 'rumah keduanya', Han Byul atau nama sebenarnya Jang Han-byul bersemangat menghangatkan semula trek seni di negara ini.

"Saya kini menjalani penggambaran drama bersiri yang berjudul Oppa Cuba Puasa yang bergandingan sebagai teraju utama bersama pelakon Sweet Qismina.

"Apa yang penting adalah memastikan segala aspek dijaga memandangkan jangkitan virus Covid-19 semakin meningkat. Apatah lagi, saya tinggal di sini seorang diri dan sudah tentu perlu memastikan keadaan kesihatan sentiasa berada dalm keadaan baik," katanya.

Bertepatan dengan prinsip dan gaya hidup sihat yang diamalkannya, penyanyi tinggi lampai ini mengaku teruja apabila dipilih menjadi 'wajah minuman' keluaran terbaharu Power Root Berhad, Per'l Yuzu.

Ia adalah produk terbaharu di bawah jenama Per'l yang berunsurkan kacip Fatimah dan menggabungkan elemen pemakanan Korea serta herba tradisional Melayu.

"Sebenarnya sejak dulu saya sudah mengamalkan teh Yuzu yang bagus untuk suara serta kesihatan. Selepas mencuba minuman keluaran Power Root ini, rasanya seperti baru dibuat sendiri biarpun disediakan dalam tin.

"Memandangkan saya mementingkan gaya hidup sihat, jadi minuman ini bersesuaian dengan prinsip dan amalan harian. Apatah lagi, khasiat buah Yuzu ini begitu banyak dan saya sudah amalkan memakannya sejak 10 tahun lalu.

"Bercerita mengenai penciptaan lagu pula, idea untuk menghasilkan melodi single Pesona Kamu terilham dalam tempoh lebih satu jam saja. Apabila terlintas di fikiran, saya terus yakin bahawa ia paling tepat buat minuman ini dan mesej yang cuba disampaikan," katanya.

Lebih mengujakan apabila Han Byul mencipta sendiri lagu Pesona Kamu itu dan edarannya oleh Indigital Music. Katanya, ia memang dicipta khas bagi mempromosikan produk minuman kesihatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 6:45 AM