Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Seramai 20 penyanyi kumpulan rock era 1990-an bakal memeriahkan konsert mini Amal Tabung Bantuan Ali XPDC dan Dwan Olan yang akan berlangsung di I'dahlia Corner, Jalan Persiaran Stonor, di sini pada 22 Mac ini.

Konsert amal terbabit dianjurkan kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada 60 penyanyi utama kumpulan rock 1990-an bagi meringankan beban dua penyanyi terbabit yang kini ditimpa musibah.

Penyanyi Damasutra, Baggio yang juga 'admin' kumpulan WhatsApp berkenaan berkata, selepas berbincang, mereka bersepakat untuk mengadakan sebuah konsert mini amal.

"Seramai 20 penyanyi kumpulan rock sudah bersetuju untuk terbabit dalam acara amal ini. Acara yang akan bermula jam 9 malam itu akan menyaksikan setiap penyanyi mendendangkan satu lagu popular mereka.

"Orang ramai boleh menyaksikan persembahan secara langsung itu selain memberi sumbangan untuk Ali dan Dwan. Idea ini terhasil secara spontan apabila kami yang terdiri daripada penyanyi kumpulan rock bersembang dalam kumpulan WhatsApp itu apabila mengetahui dua sahabat kami mengalami masalah kesihatan.

"Pada awalnya kami nak buat busking, tapi memikirkan perkara itu sukar untuk direalisasikan jadi kami akhirnya buat benda yang senang dengan adakan konsert mini," katanya.

Antara penyanyi yang terbabit ialah Wom daripada kumpulan UG14, Afee (Utopia), Baggio (Damasutra), Tok Blank (Gamma), Nizam (Laksamana), Boy (Mercury), Ringgo (Arrow), Azan (Scan), Acong (Sweetchild) dan Shafie (Rio).

Selain itu, Mel (Wings), Aan (Ways), Zamani (Slam) Awi (Scandal) Aris Ariwatan, Rozita Rohaizad, Isa (Gravity) Shidi (Data) Poey (Sting) dan Asheed (Def Geb C) juga akan membuat persembahan.

Menurut Baggio, dia tidak menyangka apabila penganjuran konsert mini amal itu mendapat maklum balas positif daripada penyanyi kumpulan rock itu tanpa meminta sebarang bayaran.

"Apabila usia sudah semakin meningkat, nak cakap mengenai tawaran persembahan dalam kumpulan WhatsApp itu seperti tidak sesuai sebab tak semua penyanyi dapat tawaran menyanyi dalam keadaan sekarang.

"Jadi, apabila membabitkan aktiviti sebegini, sekurang-kurangnya nampaklah kumpulan WhatsApp ini bermanfaat dan saling menyokong kawan-kawan industri muzik.

"Saya dan Wom selaku ahli jawatankuasa pada acara itu amat berterima kasih di atas sokongan padu yang diberikan barisan artis.

"Tak sangka juga 60 penyanyi ini masih setia dalam kumpulan WhatsApp ini kerana ia diwujudkan untuk bertanya khabar, cerita mengenai sakit dan pening, anak-anak nak kahwin serta borak mengenai kehidupan," katanya.

Terdahulu, Dwan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat serangan angin ahmar selain positif Covid-19, namun kini sudah berada di rumah.

Bagaimanapun Ali difahamkan masih mendapatkan rawatan di Hospital Ampang selepas mengalami kesukaran bernafas sebaik selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 6:14 PM