KUMPULAN Search yang akan beraksi di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, pada 11 Jun depan.
KUMPULAN Search yang akan beraksi di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, pada 11 Jun depan.
Ridzuan Abdul Rahman

Tarikh 1 April lalu adalah khabar gembira buat semua rakyat bergelar Keluarga Malaysia apabila negara memasuki fasa 'peralihan ke endemik'.

Bagaimanapun, memandangkan tarikh terbabit hampir dengan Ramadan, penggiat muzik tidak dapat melakukan banyak aktiviti kecuali terbabit dalam persembahan ketika majlis berbuka puasa.

Namun, masih ada dalam kalangan mereka yang bijak memanfaatkan peluang untuk mencari rezeki sambil beramal buat mereka yang memerlukan.

Contohnya Datuk Awie, apabila terbabit dengan dua persembahan bersama kumpulan Wings di Johor Bahru dan Melaka serta persembahan solo di Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung di hotel ini mendapat sambutan hangat daripada peminatnya. Awie ternyata tidak lokek berkongsi rezeki dengan penggiat seni yang bernasib malang seperti Ali XPDC apabila menghulurkan bantuan wang tunai RM10,000.

Penyanyi Datuk Ramli Sarip turut tidak ketinggalan beraksi di sebuah hotel di ibu negara pada Ramadan lalu. Ia tentunya mengubati kerinduan peminat yang sudah dua tahun tidak menikmati persembahannya secara langsung di depan mata.

Sama seperti Awie, penganjur konsert Ramli turut membantu golongan artis bernasib malang apabila menjalinkan kerjasama dengan Konsortium IRAMA.

Barisan artis yang dibantu antaranya ialah Ali XPDC, Dwan Olan, Allahyarham Harun BPR, Bad Indigo, Norlia Ghani dan ramai. Barangkali sumbangan itu tidak seberapa, tetapi usaha yang dilakukan mereka wajar dipuji.

Sesuatu yang menarik ingin disentuh penulis ialah ketibaan Jun yang menyaksikan banyak konsert artis nama besar akan berlangsung di ibu negara.

Malah, ada antara konsert terbabit akan bersaing sesama sendiri dalam menarik peminat apabila berlangsung pada tarikh dan masa sama.

Kalau tidak salah perkiraan penulis, kita ada Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 menampilkan Nizam Laksamana, Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega dan Ramlah Ram yang berlangsung di Bangi Resort Hotel pada 4 Jun depan.

Pada tarikh sama juga, Datuk Hattan akan tampil dengan konsert berskala besar iaitu Hattan - 35 Years Journey di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Manakala Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) akan beraksi di Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, pada 11 Jun depan.

Ingatkan hanya tiga konsert bertaraf mega yang akan berlangsung pada masa terdekat. Dari segi sambutan peminat sememangnya tiada masalah kerana ia mengikut selera masing-masing.

Bagaimanapun, dalam pada peminat setia Search membuat perkiraan untuk menonton Konsert Search Rockin' On Rooftop, mereka dikejutkan pula dengan pengumuman Konsert Search Endemik yang menampilkan Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary.

Konsert yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre ini akan berlangsung lebih awal iaitu pada 4 Jun depan dan seterusnya ditambah satu malam lagi iaitu 5 Jun.

Bermula dari situ, kedengaran cakap-cakap kurang enak mengaitkan ada unsur-unsur mahu 'caras' usaha pasangan adik-beradik Din dan Kid yang mahu memperkenalkan penyanyi baru mereka Denden Gonjales kepada peminat.

Namun, penulis memuji ketenangan Noordin yang berkata, mereka tiada masalah kerana yakin peminat tetap akan menyokong.

"Tak kisahlah, rezeki masing-masing. Search yang sana ada kelebihan, Search yang sini pun ada kelebihan juga," katanya kepada Harian Metro sebelum ini.

Nasir pula berkata, muzik adalah satu timeline bagi peminat dan lagu-lagu Search mengembalikan memori ketika mereka belajar di universiti, kolej ataau baru mula bekerja.

"Kita tak boleh syok sendiri kerana main untuk hiburkan peminat. Bila orang bertandang ke rumah kita, biasanya kita akan jamu makanan kegemaran mereka.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk bagi kepuasan dan kegembiraan buat peminat. Itu yang mereka nak dan bukan disogokkan dengan lagu yang mereka tak kenal. Kami tak nak buat konsert syok sendiri," katanya.

Apa-apa pun penulis menyeru peminat berlapang dada dengan perkembangan ini. Ia satu perkara positif kerana bukan mudah untuk kita melihat persembahan dua kumpulan Search yang mempunyai kredibiliti tersendiri beraksi dalam jarak selang seminggu.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 5:59 AM