TIGA figura ini pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika era muzik 1990-an.
TIGA figura ini pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika era muzik 1990-an.
Najiy Jefri


KEMASYHURAN muzik era 1990-an sememangnya mempunyai magis tersendiri apabila kebanyakan lagunya masih digilai pendengar dan menguasai carta lagu hit.

Lebih mengujakan, pada era terbabit turut menyaksikan ramai bakat baru sekali gus pantas mendapat tempat di hati peminat sehinggakan kemunculan mereka terus diingati hingga hari ini.

Terbaru, tiga penyanyi kumpulan popular yang pernah mencetuskan fenomena pada era 1990-an iaitu Baggio (Damasutra), Zarul (Umbrella) dan Sham (Visa) disatukan buat julung kali dalam Konsert Minggu Ini (KMI) anjuran RTM yang bakal bersiaran secara langsung di TV2 jam 9 malam ini.

Konsert yang diberi nama KMI Hits 90-an itu bakal mengembalikan nostalgia kegemilangan muzik rock di negara ini dengan deretan lagu-lagu malar segar yang pernah dipopularkan tiga penyanyi terbabit.

Sebut saja lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra), Ramalanku Benar Belaka (Umbrella) atau Dalam Gerimis (Visa), peminat muzik tanah air sudah dapat mengenal pasti siapa pemilik empunya lagu terbabit.

Baggio yang juga penyanyi Damasutra berkata, KMI Hits 90-an bakal mengimbas kembali segala detik indah yang berlaku dalam hidupnya ketika lagu-lagu Damasutra merajai di hati peminat.

"Konsert ini bakal menyaksikan gabungan kali pertama di antara tiga penyanyi yang cukup dikenali pada era 1990-an. Sebelum ini saya pernah berkongsi pentas dengan Zarul dan Sham tapi dalam konsert yang berbeza.

"Sejujurnya saya tak sangka lagu-lagu yang pernah dibawakan kira-kira 30 tahun lalu masih menjadi siulan dan mendapat permintaan tinggi. Kalau diikutkan saya bermula dalam bidang ini ketika berusia 19 tahun dan sekarang usia saya sudah 51 tahun.

"Jadi, saya amat bersyukur kerana masih diberikan kudrat dan umur yang panjang untuk melepaskan rindu dengan peminat. Konsert malam ini akan menyaksikan sesuatu yang luar biasa kerana sudah lama tidak menyanyi di hadapan peminat. Selalunya program yang dihadiri tanpa kehadiran penonton sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Jadi konsert ini akan mencipta satu detik yang paling indah sekali gus mendatangkan kesan kepada penyanyi dan penonton," katanya.

Ditanya mengenai resipi lagu-lagu era muzik 1990-an masih terus diingati sehingga kini, Baggio mengakui salah satu sebab lagu-lagu pada zaman itu berjaya adalah penghasilannya dibuat secara telus, ikhlas dan jujur.

"Ketika era 1990-an lagu-lagu bergenre rock balada seperti Isabella, Suci Dalam Debu dan banyak lagi lagu lain menjadi fenomena sekali gus lagu-lagu lain juga turut mendapat peluang.

"Pada masa itu kami mendapat peluang yang terbuka daripada bahagian penyiaran radio. Mereka beri peluang kepada peminat untuk memilih lagu yang terbaik.

"Dari segi pembuatan lagu pula, kami memang 100 peratus duduk dalam studio dan berkampung untuk menyiapkan sebuah album. Jadi, setiap orang memberikan komitmen dan disiplin dalam memberikan hasil yang terbaik.

"Itulah antara rempah-ratus ketika menyiapkan sesebuah lagu. Selepas 30 tahun pun lagu itu masih terus didengari. Kerja berpasukan juga antara faktor kejayaan kerana kami sangat mementingkan ketelusan, keikhlasan dan kejujuran apabila nak hasilkan sesuatu karya itu," katanya.

Ditanya bagaimana Baggio dan Damasutra mengawal segala populariti sehingga tidak gelap mata atau lupa diri, Baggio menegaskan, sebagai anak seni perlu bijak menguruskan setiap gosip atau kontroversi yang berlaku.

"Apabila seseorang artis itu sudah menandatangani perjanjian dengan syarikat rakaman, secara automatik dia perlu membawa diri sebagai seorang artis. Jadi dia perlu menjaga penampilan, disiplin dan segala hal dengan baik supaya tidak lupa diri.

"Kalau dulu isu yang berlaku selalu disebut sebagai gosip dan selalunya atas angin saja, tapi sekarang trend itu sudah berubah kepada viral dan ia agak agresif kerana didedahkan secara terang-terangan di media sosial

"Jadi, untuk mengawal segala isu yang berlaku perlulah tangani dengan kebijaksanaan. Jangan terlalu ikutkan emosi sebaliknya cari cara terbaik untuk selesaikan sesuatu isu yang viral atau gosip yang datang," katanya.

Zarul tak tahu diri popular

 ZARUL mengakui Baggio dan Sham adalah idola dalam dunia nyanyian.
ZARUL mengakui Baggio dan Sham adalah idola dalam dunia nyanyian.

Melihat kejayan lagu Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu pada era 1990-an sehingga digilai ramai gadis Melayu, Zarul mengakui tidak tahu sejauh mana dirinya dikenali kerana ketika itu tiada media sosial.

"Saya mula perasan diri jadi perhatian apabila saya keluar berjalan-jalan orang sudah mula pandang dan tegur, itu saja. Lagipun masa itu belum ada media sosial untuk lihat sejauh mana saya mendapat perhatian dan terkenal.

"Tapi selalunya apabila wajah kita sering keluar di majalah, surat khabar serta TV, maknanya itu adalah pengukur kepada impak populariti seseorang," katanya.

Bercerita lanjut mengenai keterujaan berkongsi pentas dengan Baggio dan Sham dalam satu pentas di KMI Hits 90-an, Zarul berkata, dua penyanyi hebat itu adalah idola dalam bidang nyanyian.

"Sejujurnya Sham dan Baggio adalah senior yang muncul beberapa tahun lebih awal. Jadi saya pernah beli album Damasutra dan Visa ketika itu . Apabila diberi peluang ini datang saya rasa macam satu penghargaan," katanya.

KMI Hits 90-an bakal menyaksikan gabungan kali pertama Sham, Baggio dan Zarul dalam satu pentas.
KMI Hits 90-an bakal menyaksikan gabungan kali pertama Sham, Baggio dan Zarul dalam satu pentas.

Rahsia lagu Visa

Mengimbas kembali zaman kegemilangan Sham, dia boleh dikategorikan antara penyanyi yang menjadi kegilaan ramai, khususnya peminat wanita.

Dua lagu nyanyiannya iaitu Untukmu Selamanya dan Dalam Gerimis pantas mendaki carta popular apabila sering dimainkan stesen radio.

Ditanya mengenai pengalaman merakamkan dua lagu terbabit, Sham berkata, ada cerita menarik di sebalik pembikinannya.

"Lirik lagu Untukmu Selamanya itu asalnya adalah sebuah puisi. Selepas siap liriknya, barulah melodi dihasilkan. Magisnya, melodi lagu itu mengambil masa hanya selama lima minit untuk disiapkan.

"Bagi lagu Dalam Gerimis pula, saya mengambil masa agak lama untuk menyiapkan rakamannya ketika ia diadakan di sebuah studio di Singapura. Lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan itu memang sukar dan memerlukan sepenuh penghayatan, untuk menjadikannya sebuah karya sempurna. Hanya selepas enam jam di studio, barulah proses rakaman selesai," katanya yang tidak sabar untuk menyanyikan dua lagu itu malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 7:00 AM