BPR teruskan perjuangan tanpa Joey.
BPR teruskan perjuangan tanpa Joey.
Ridzuan Abdul Rahman

Komposer dan pemain gitar kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR) Awang mendedahkan diajukan pelbagai soalan apabila mempromosikan Konsert 1511 Bumiputra Rockers tanpa pembabitan Joey yang juga penyanyi utama mereka.

Awang atau Norzaini Mohammad, 61, berkata, tempat Joey digantikan oleh Kudien Rafee, pemenang kategori rock program Tiga Juara TV3 pada 2017 dan ia dipersetujui oleh anggota lain.

"Kudien orangnya muda dan suara memang mantap. Dia pun bersetuju menggantikan tempat Joey dalam konsert yang berlangsung di Johor Bahru ini.

"Berkaitan Joey, sebenarnya saya dah hubungi dia untuk konsert ini dan dia berikan jawapan tak nak menyanyi. Saya pun tak tahu apa sebab. Tapi, tak nak perkara ini jadi kecoh.

"Saya rasa mungkin Joey selesa pergi solo. Itu agakan saya sahaja. Memang kumpulan kami dah tiga tahun tiada 'show'. Kali terakhir kami beraksi ialah di Pesta Pulau Pinang," katanya.

ANGGOTA BPR ketika zaman muda.
ANGGOTA BPR ketika zaman muda.

Menurutnya, selepas itu Joey atau Johari Mat Rozekhi banyak bergerak solo menjayakan persembahan di Sabah dan Sarawak.

"Pada kami tak kisah kalau dia nak menyanyi solo kerana masing-masing ada haluan sendiri. Tapi, bila dijemput untuk konsert dan alasan itu diberikan, saya akur. Apabila ramai bertanya, hanya jawapan itu yang saya boleh berikan.

"Kami terpaksa teruskan konsert ini kerana Yem Bai (bass) dan Enal (drum) dan saya sendiri nak tunggu kerana kami juga perlu cari rezeki.

"BPR kena teruskan perjuangan. Alhamdulillah saya dapat juga anjurkan konsert ini pada 2 Mac ini. Kami juga jemput Baggio Damasutra sebagai artis jemputan," katanya.

Awang berkata, BPR akan menyampaikan 15 lagu, manakala Baggio menyanyikan lagu Damasutra dalam tiga

atau empat lagu.

"Penonton akan menyaksikan konsert secara berdiri. Kami juga wujudkan cabutan bertuah di mana antara hadiahnya berupa penginapan di Hard Rock Hotel Penang dan Hard Rock Hotel Desaru," katanya.

Konsert 1511 Bumiputra Rockers berlangsung di Roof Top City Plaza, Johor Bahru yang boleh memuatkan 3,000 penonton pada 2 Mac ini. Tiket yang ditetapkan hanya berharga RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:30 AM