DAMASUTRA bersama pengasas dan juga Presiden Insaf Malaysia Ishak Abdul Kadir (dua dari kanan).
DAMASUTRA bersama pengasas dan juga Presiden Insaf Malaysia Ishak Abdul Kadir (dua dari kanan).
Ridzuan Abdul Rahman


Penderitaan pelarian Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman junta Myanmar mengundang simpati pelbagai pihak.

Kumpulan rock popular era 90-an, Damasutra tidak terkecuali turut menghulurkan bantuan menerusi persembahan ‘Live Music’ Amal: Damasutra - Air Mata Rohingya yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 17 Disember ini, jam 3 petang.

Konsert anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Insaf Malaysia ini bertujuan mencari dana membeli set solar bagi menerangi rumah dan masjid di kampung yang menempatkan pelarian Rohingya serta diagihkan untuk program amal Insaf dalam negara.

Damasutra masih kekal dengan anggota asal iaitu Bagio sebagai penyanyi, Amran (pemain bass), Alok (gitar utama) dan Assu (pemain dram).

Bagio berkata, penyatuan semula mereka bukan untuk mencari populariti, sebaliknya mahu membawa misi besar membantu sesama manusia, selain memeriahkan semula industri seni tanah air.

“Damasutra prihatin dengan kesengsaraan yang ditanggung pelarian Rohingya. Kami terpanggil mengadakan persembahan ini bagi mengumpul dana untuk meringankan penderitaan mereka.

“Untuk persembahan selama sejam ini, kami akan menyampaikan lagu hit Damasutra antaranya Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Antara Sutera dan Bulan, Asyik dan Seribu Bayangan. Kami percaya peminat akan puas hati dengan apa yang ditampilkan,” katanya.

Menurutnya, secara kebetulan Damasutra pernah merakam lagu Impianku, hasil ciptaan Awang BPR dan lirik tulisan Allahyarham Juwie lebih dua dekad lalu yang sangat sesuai dijadikan lagu tema persembahan ini.

“Lagu ini ada keistimewaan tersendiri, kami ubah suai sedikit dan memberikan judul baru iaitu Air Mata Rohingya. Ini membuktikan lagu Damasutra sangat relevan dengan situasi semasa kerana menyentuh isu kemanusiaan, cinta dan kehidupan,” katanya.

Dua tahun lalu, kumpulan ini membuat persembahan di Hard Rock Cafe Melaka dan sambutan yang diberikan peminat amat menggalakkan.

“Kami berharap persembahan kali ini akan mendapat sokongan ramai peminat dengan membeli tiket berharga RM65 serta kemeja-T khas berharga RM50 sempena persembahan itu nanti,” kata Bagio yang juga seorang sukarelawan Insaf Malaysia.

Persembahan ‘Live Music’ Amal: Damasutra - Air Mata Rohingya dianjurkan dengan kerjasama Padi Records, Solaris Music, PERMIS dan Gabungan CK Biker’s Club.

Peminat juga akan dihiburkan dengan persembahan Ammy Fara, Real Spin dan Ezza dari Filipina sebagai artis undangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 2:18 AM