Penyanyi, Han Byul. FOTO Rohanis Shukri
Penyanyi, Han Byul. FOTO Rohanis Shukri
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Penyanyi Han Byul, 32, meluahkan perasaan gementar dan teruja apabila dapat bergandingan dengan barisan penyanyi hebat dalam konsert irama keroncong yang bakal diadakan pada 5 dan 6 Ogos nanti.

"Saya rasa sangat gementar kerana sebelum ini saya belum pernah berjumpa mereka. Tapi saya juga rasa teruja untuk membuat persembahan itu nanti.

"Ini adalah satu penghormatan besar buat saya kerana diberi peluang untuk bersama-sama membuat persembahan dalam konsert itu. Sama seperti sebelum ini, ketika saya berjumpa dengan Datuk Sri Siti Nurhaliza buat kali pertama, jadi perasaan teruja itu sama seperti sekarang," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Irama Keroncong semalam.

Menurutnya, penyertaan dalam konsert itu nanti adalah peluang terbaik buat dirinya meneroka lebih banyak perkara baharu memandangkan ia kali pertama dia bakal bernyanyi dalam irama itu.

"Saya tidak pernah menyanyi dalam irama keroncong. Tapi saya pernah juga mendengar lagu-lagu keroncong," katanya.

Tambahnya, dia sudah belajar selama dua bulan untuk berlatih menyanyi lagu keroncong menerusi video youtube.

"Saya berlatih selama dua bulan untuk satu lagu keroncong daripada youtube. Lagu yang saya belajar itu ialah Cinta Abadi," katanya.

Sementara itu, Han berkata dirinya juga risau sekiranya sebutan untuk menyanyi lagu keroncong itu berbunyi pelat.

"Tapi saya percaya kepada diri sendiri untuk melakukan yang terbaik. Saya seorang yang bekerja keras," kata Han yang turut berkongsi dia bakal menyanyikan lagu Winter Sonata dalam versi Korea dan bahasa Melayu.

"Saya akan menyanyikan lagu Winter Sonata itu dengan separuh bahasa Korea dan separuh lagi dalam Melayu.

"Ini juga kali pertama bagi saya untuk menyanyikan lagu itu dalam dua bahasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 12:29 PM