ELIZABETH Tan. FOTO IG Elizabeth Tan
ELIZABETH Tan. FOTO IG Elizabeth Tan
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan, 28, sebenarnya seorang penakut walaupun dia dilihat cukup lasak serta pernah melakonkan watak sebagai Inspektor polis.

Elizabeth atau mesra disapa Lizzy berkata, dia takut hantu dan tidak pernah menonton drama dan filem seram selama ini. Namun, dia tetap beranikan diri berlakon cerita hantu.

"Saya sebenarnya seorang yang penakut, sangat penakut. Hinggakan tak tengok langsung cerita seram atau hantu sebab terlalu takut.Tapi, lucunya saya boleh berlakon jadi hantu.

"Cuma, untuk elak rasa takut itu saya tak akan lihat diri sendiri di dalam cermin selepas siap dengan kostum dan solekan sebagai hantu," katanya lagi.

Baru-baru ini, Lizzy muncul melakonkan watak pontianak bernama Bella dalam drama Ex Aku Pontianak yang diarahkan Shamyl Othman.

Lizzy berkata jika difikirkan agak kelakar juga apabila ndividu penakut teruk sepertinya sanggup melakonkan watak pontianak yang benar-benar mencabar keupayaan diri sendiri.

"Bukan mudah untuk saya realisasikan watak Bella itu. Sukar juga kerana persediaan agak terhad. Saya hanya bertanya orang sekeliling bagaimana karakter sebagai pontianak dan nasib baik juga saya ada sedikit pengalaman menjadi hantu dalam filem Misteri Dilaila dulu," katanya.

Lizzy berkata dia sanggup cabar dirinya yang penakut untuk watak Bella itu kerana karakternya lebih kepada antagonis berbanding sebagai hantu yang menakutkan orang. 

Kata penyanyi lagu Knock Knock dan Police Entry ini, dia berasa satu kerugian dan membuat keputusan bodoh sekiranya menolak naskhah skrip drama sangat menarik hanya kerana perasaan takut yang ada dalam diri.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 5:08 PM