LIZZY juga rancak kembangkan karier dalam lakonan. FOTO/MAHZIR MAT ISA
LIZZY juga rancak kembangkan karier dalam lakonan. FOTO/MAHZIR MAT ISA
Ardini Sophia Sina


Lima tahun dalam gelanggang seni, pemilik nama Elizabeth Tan menegaskan sudah tiba masa untuknya membina identiti muzik bagi mengukuhkan kedudukan.

Tampil dengan lagu baru berjudul Semua Sudah, naskhah ciptaan komposer, penerbit dan penyanyi rap Alif itu menggambarkan jiwa penyanyi yang mesra disapa Lizzy itu.

Lizzy mengakui selesa menyanyikan lagu Semua Sudah ketika mengadakan persembahan. Baginya, lagu rentak R&B itu adalah dirinya yang sebenar.

“Dari awal kemunculan sehingga sekarang, saya membawakan pelbagai genre lagu dan nampak ‘rojak’. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk saya bina identiti dengan membawakan rentak lagu yang memang jiwa saya.

“Semua Sudah antara lagu yang saya ‘enjoy’ ketika menyanyi atas pentas. Mungkin kerana rentak lagu ini kegemaran saya, jadi memang selesa membawakannya,” kata Lizzy yang turut menghasilkan lirik lagu itu bersama Alif.

Andai dinilai bait lirik lagu berkenaan, ia seakan ada kaitan dengan perjalanan hidupnya.

Lizzi menegaskan ia bukanlah ditulis 100 peratus berdasarkan pengalamannya.

Namun, dia mengakui ada sedikit rencah hidup yang disusun dan dibina menjadi sebuah lagu.

Ia menunjukkan sisi matang wanita berusia 25 tahun itu yang menempuh pahit manis hidup.

Baru saja muncul dengan Police Entry pada Julai lalu, jarak antara lagu berkenaan dengan Semua Sudah agak dekat. Walaupun kelihatan terburu-buru, Lizzy punya sebab tersendiri untuk berbuat demikian.

“Ya, memang rasa macam cepat sangat muncul dengan lagu baru tetapi saya tidak kisah kalau lagu ini tidak hit. Saya hanya ingin membesarkan katalog lagu agar mempunyai lebih banyak pilihan untuk dinyanyikan ketika membuat persembahan.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat lagu ini hanya sekadar mengisi ruang kosong. Saya melihat strategi rakan-rakan lain pun sama seperti ini. Ada beberapa penyanyi lain yang turut melancarkan lagu baru.

“Oleh itu, tidak salah rasanya kalau saya pun tampil dengan lagu baru hujung tahun ini. Januari tahun hadapan saya bolehlah keluarkan video klip pula,” kata Lizzy.

Tidak hanya menyanyi, Lizzy juga rancak mengembangkan karier lakonan mempunyai beberapa projek filem dan drama yang bakal ditayangkan pada Februari 2019.

Lebih mengujakan, Lizzy bakal terbabit dengan penggambaran filem aksi pada Mac nanti. Bagaimanapun, buat sementara waktu Lizzy enggan mendedahkan pembabitannya itu.

“Saya pernah cakap teringin melakonkan watak perisik. Tak sangka pula impian ini bakal direalisasikan tidak lama lagi. Buat masa ini, saya belum boleh kongsi maklumat lanjut mengenainya. Tunggulah penggambaran bermula dulu.

“Selain itu, Februari nanti saya tampil dengan drama Senafas Rindu berganding dengan Syafiq Kyle dan filem seram Misteri Delaila bersama Zul Ariffin. Saya harap kedua-dua naskhah ini dapat menarik perhatian penonton,” katanya.

Memulakan kembara seni dengan lagu Knock Knock, Lizzy sebenarnya banyak bergelut dengan diri sendiri.

Katanya, dia seorang ‘introvert’ dan terlalu banyak berfikir.

Dia juga mengalami masalah ‘anxiety’ dan perkara itu mengganggu perjalanan seninya.

Kata Lizzy, tahun ini dia hanya mengambil dua persembahan saja kerana berdepan dengan masalah itu.

“Beberapa hari sebelum persembahan, saya susah tidur. Macam-macam yang saya fikir dan ia mengganggu kehidupan harian. Sebab itulah saya tampil dengan Semua Sudah. Saya kurang tertekan apabila menyanyikan lagu ini.

“Tahun ini saya terima dua tawaran menyanyi saja. Saya memang kerja keras untuk menyesuaikan diri dengan industri. Saya seorang yang ‘introvert’ dan susah rapat dengan orang. Saya ambil masa lima tahun untuk bentuk diri saya seperti sekarang,” katanya.

Jelas Lizzy, andai tidak ada apa-apa aktiviti yang perlu dihadirinya, dia lebih suka menghabiskan masa di rumah. Sikapnya itu membuatkan ada segelintir individu menganggap dia pelik.

Dia bersyukur kehadiran Atirah iaitu rakan merangkap pembantunya membuatkan hidupnya lebih teratur.

Lizzy berkata, rakannya itu banyak membantu dia keluar dari kepompong lama.

“Kalau dia tidak ada, saya tidak tahu apa akan jadi dengan diri saya. Dia banyak membantu dan menasihati saya. Dia antara sahabat yang saya selesa untuk berkongsi rasa.

“Ketika saya melarikan diri dari rumah pun, dia insan yang sentiasa ada bersama saya. Tanpa dia, saya rasa karier seni saya akan tamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:00 AM