ELIZABETH Tan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ELIZABETH Tan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ardini Sophia Sina

Masyarakat sekeliling mungkin mengandaikan golongan selebriti mempunyai perjalanan hidup yang hanya penuh dengan rasa suka dan kebahagiaan.

Walhal, mereka juga manusia biasa yang akan berhadapan dengan kekecewaan dan rasa sakit hati.

Bagi penyanyi Elizabeth Tan, 24, yang mula dikenali menerusi lagu Knock Knock, dia pernah melalui saat getir dalam hidupnya. Episod putus cinta mengajar dirinya untuk lebih berhati-hati meletakkan kepercayaan kepada seseorang.

Lebih mesra disapa Lizzy, hubungan terjalin hanya empat bulan dengan seorang ahli perniagaan cukup memberi tamparan buatnya.

Dia mengakui hampir hilang arah dan terpaksa bercuti bagi mententeramkan emosi. Sepanjang tempoh itu, segala prinsip yang dipegang mulai goyah.

Dia mula tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan dia untuk meneruskan kehidupan. Dia tertekan dan kecewa kerana dengan sekelip mata, rasa manis bercinta itu bertukar menjadi racun.

Bagaimanapun, sekarang Lizzy akui walaupun pahit tetapi cerita cinta tidak kesampaian itu sebenarnya proses pembelajaran yang mematangkan dirinya.

Katanya, dia tidak pernah kesal apabila terpaksa melalui situasi itu walaupun menyeksa hidupnya.

“Saya sebenarnya seorang yang mudah percaya. Saya percaya semua orang yang mendekati dan ingin bersahabat dengan saya mempunyai niat baik dan tidak mungkin melakukan sesuatu yang melukakan hati.

“Tetapi selepas kejadian ini, saya lebih sensitif dan meneliti latar belakang seseorang sebelum percaya apa yang dikatakannya. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.

Lizzy bertuah apabila seorang kenalan banyak memberi kata-kata nasihat dan memujuknya agar terus kuat dan sabar berhadapan dengan dugaan itu. Dia berterima kasih atas keprihatinan individu itu.

“Sahabat saya berbangsa Melayu. Dia nasihatkan saya agar terus bersabar dan mencari kembali tujuan saya hidup dan saya tahu dia ikhlas tanpa ada niat lain,” katanya.

Lizzy juga akui tiga tahun bergelar artis, terlalu banyak dugaan yang dilalui.

Katanya, semua itu bergabung menjadi satu beban yang berat.

“Saya pula bukan jenis yang suka bercerita. Apabila terlalu lama dipendam, ia meletup hingga saya sendiri hampir-hampir tidak dapat kendalikan emosi diri.

“Saya percaya semua yang terjadi ada sebabnya. Perkara seperti ini yang membantu saya untuk jadi lebih matang dan dewasa. Kini, saya melihat sesuatu perkara itu dari sudut positif,” katanya.

Mahu kembali berlakon

Walaupun mula dikenali sebagai penyanyi, hakikatnya peluang pertama diperoleh Lizzy dalam dunia seni ialah sebagai pelakon apabila dipilih menjayakan Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium.

Kini dia sedar harus bertanggungjawab terhadap hidup dan kerjayanya sendiri. Malah Lizzy nekad untuk berehat seketika dari dunia nyanyian dan ingin fokus pada lakonan.

Katanya, tahun ini dia mendapat peluang sekali lagi membintangi drama My Darling, Inspektor Daniel dan Gerak Khas memegang watak Suzy.

“Sebenarnya sejak kecil lagi saya memasang angan-angan untuk menjadi pelakon. Malah saya sanggup belajar bahasa Melayu dengan pertolongan pembantu peribadi agar dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa saya.

“Bgaaimanapun, buat masa ini saya masih mengehadkan lakonan kerana perlukan sedikit masa untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa Melayu,” katanya.

Walaupun baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan, dia juga memilih karakter yang diberikan dan menyifatkan peluang berlakon dalam My Darling, Inspektor Daniel sebagai cukup menarik apabila digandingkan dengan Aaron Aziz, Siti Elizad, Dazrin Kamarudin dan Erra Fazira.

“Sebenarnya saya cuba elak melakonkan watak wanita yang banyak menangis dan juga sweet. Sebabnya itu bukan saya dan rasanya tidak sesuai untuk saya bawa.

“Ia akan membuatkan lakonan saya kaku dan kelihatan tidak semula jadi. Saya lebih suka karakter yang dekat dengan diri saya. Saya juga masih dalam proses belajar mengenai teknik lakonan. Saya suka memahami dan menghafal skrip,” katanya yang turut ditawarkan berlakon drama Gerak Khas.

Kata Lizzy, dia cuba menimba sebanyak mungkin ilmu lakonan ketika berada di lokasi penggambaran melalui pemerhatian dan bertanya dengan mereka yang lebih berpengalaman.

“Memang banyak ilmu yang saya peroleh daripada rakan artis dan kru yang terbabit dalam penghasilan karya itu,” katanya.

Walaupun mengakui tidak selesa membuat persembahan di hadapan umum, Lizzy bagaimanapun tidak akan berhenti untuk terus menulis lagu baru di studio.

Katanya, minat menyanyi mula datang secara kebetulan selepas dia memuat naik rakamannya di YouTube menyanyikan lagu penyanyi popular.

“Selepas memuat naik video berkenaan, saya tiba-tiba ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakaman dan muncul dengan single pertama, Knock Knock pada 2014. Selepas itu Setia menampilkan Faizal Tahir (2015), Tabah (2016) dan terbaru, Darling.

“Hanya pada awalnya saya teruja dengan cara bekerja seperti itu. Namun, ia cuma untuk jangka masa pendek. Kemudian saya sedar, hati saya lebih pada bidang lakonan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 1:23 AM