MOHAMAD Khairizal, 25, dan isteri, Amira Syahira, 24, yang sedang bercuti di Melaka mengambil peluang menonton pembentangan Bajet 2022 secara langsung menerusi telefon ketika ditemui di Pantai Klebang. FOTO Syafeeq Ahmad
MOHAMAD Khairizal, 25, dan isteri, Amira Syahira, 24, yang sedang bercuti di Melaka mengambil peluang menonton pembentangan Bajet 2022 secara langsung menerusi telefon ketika ditemui di Pantai Klebang. FOTO Syafeeq Ahmad
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Peruntukan Bantuan Keluarga Malaysia bernilai RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima satu penambahbaikan positif selari dengan situasi rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, secara keseluruhannya pelbagai bantuan sara hidup rakyat yang diumumkan dalam Bajet 2022 menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah dihadapi rakyat.

"Saya sifatkan Bajet 2022 ini sebagai 'serupa bikin' yang menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin dengan permasalahan dan keperluan rakyat kerana kita baru lagi melihat banyak sektor ekonomi dibuka dan beralih dari fasa pandemik ke endemik.

"Saya nampak satu yang sangat menarik kerana terdapat penambahan peruntukan bantuan menerusi BPM yang ditambah baik daripada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

"Selain itu, peningkatan Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 kepada RM1,169 berbanding RM980 PGK 2016 juga wajar dan memang perlu dikaji kerana rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang, jadi peningkatan ini positif yang menunjukkan kerajaan memahami keperluan rakyat," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, mekanisme penyaluran bantuan perlu diberi perhatian supaya ia benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan.

"Memang sebelum ini kita ada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan yang memantau semua penyaluran bantuan, cuma saya rasa jentera mekanisme itu perlu diperkemaskan lagi dan lebih bersepadu bagi memastikan apa yang dirancang dan diagihkan betul-betul sampai kepada penerima bantuan.

"Selain itu, kita perlu lihat keberkesanan mungkin untuk jangka masa pendek atau sederhana supaya ia selari dengan apa yang dihasratkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) ke arah menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya.

Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pengagihan RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

Selain itu, bantuan RM2,500 akan diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tiga anak atau lebih serta bantuan tambahan RM300 kepada warga emas.

Pada masa sama, RM2.4 bilion bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disalurkan kepada 440,000 isi rumah memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:05 PM