FREE Guy angkat jalan cerita mengenai ‘dimensi’ berbeza. - FOTO Google
FREE Guy angkat jalan cerita mengenai ‘dimensi’ berbeza. - FOTO Google
Syafil Syazwan Jefri


  • FILEM: Free Guy

  • PENGARAH: Shawn Levy

  • PENULIS SKRIP: Matt Lieberman dan Zak Penn

  • PELAKON: Ryan Reynolds, Jodie Comer, Lil Rel Howery, Utkarsh Ambudkar, Joe Keery dan Taika Waititi

  • TERBITAN: Berlanti Productions, 21 Laps Entertainment, Maximum Effort, Lit Entertainment Group dan TSG Entertainment

  • ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

    (Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

    BAGI anda yang meminati filem yang mengangkat jalan cerita mengenai 'dimensi' berbeza, filem terbaharu berjudul Free Guy tentunya akan menjadi satu lagi filem yang patut masuk dalam senarai anda.

    Saya sendiri pada awalnya tidak menjangkakan filem ini mampu membuatkan saya ingin terus kekal berada di kerusi pawagam dan teruskan menonton.

    'Dimensi' berbeza yang diwujudkan oleh penulisnya bukan dimensi lain seperti bunian atau apa, sebaliknya satu dunia digital yang menjadi tempat di mana satu karakter 'artificial intelligence' atau AI hidup.

    Karakter bernama Guy ini tidak tahu bahawa dia bukan hidup di dunia nyata, sebaliknya hanya bukan pemain utama atau non-player character (NPC) dalam permainan video Free Guy.

    Melalui hari-hari dengan rutin sama, Guy akhirnya mula tersedar bahawa dia boleh mengubah kehidupan sekiranya dia cuba untuk keluar daripada melakukan rutin harian itu.

    Bertemu dengan karakter bernama Molotov Girl, Guy mula jatuh hati dengan wanita itu, namun tidak tahu bahawa karakter Molotov Girl hanya pemain di sebalik seorang wanita di dunia nyata bernama Millie Rusk.

    KEERY lakonkan watak Keys. - FOTO Google
    KEERY lakonkan watak Keys. - FOTO Google

    BUDDY lakonan Howery (kiri) bersama Guy lakonan Reynolds dalam satu babak Free Guy. - FOTO Google
    BUDDY lakonan Howery (kiri) bersama Guy lakonan Reynolds dalam satu babak Free Guy. - FOTO Google

    POSTER filem Free Guy. - FOTO Google
    POSTER filem Free Guy. - FOTO Google

    Membawa perwatakan baik dan membantu setiap penduduk di Free City, Guy mula mencuri tumpuan dan digelar sebagai Blue Shirt Guy.

    Dari situ bermula kisah perjalanan Guy yang membantu Millie dan sahabatnya, Keys bagi mendapatkan semula hak mereka.

    Menariknya lagi, jalan ceritanya tidak dapat dijangka dan filem ini umpama membawa penonton melayari apa yang berlaku dalam dunia permainan video.

    Ia juga mengajak penonton melihat sisi berbeza permainan video dan bagaimana watak NPC bangkit dan ingin berjuang.

    Seperti biasa, lakonan Reynolds tentunya akan diselitkan dengan beberapa babak mencuit hati, di samping babak romantik yang menyentuh jiwa.

    Kesan khas yang digunakan juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai elemen yang ada dalam permainan video dimuatkan dan dihasilkan supaya nampak realistik.

    Selain bintang utamanya, Free Guy juga menampilkan beberapa nama besar sebagai pelakon 'cameo' antaranya Channing Tatum, Chris Evans, Lara Spencer, Alex Trebek, Tina Fey, Hugh Jackman, Dwayne Johnson dan John Krasinski.

    Selain itu, turut ditampilkan bintang dalam dunia permainan video dan penstriman antaranya Jacksepticeye, Ninja, Pokimane, DanTDM dan LazarBeam.

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:47 AM