KEMAMPUAN Coldplay tidak boleh dipertikaikan. - FOTO Google
KEMAMPUAN Coldplay tidak boleh dipertikaikan. - FOTO Google
HM Digital

SEJAK band popular dunia, Coldplay mengumumkan mereka akan mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini, ramai yang teruja dan tak senang duduk.

Jadi, apabila tiket Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour itu mula dijual 16 Mei lalu, ia 'sold-out' dalam masa tiga jam saja.

Malah, ramai yang kecewa apabila gagal memperoleh tiket yang dijual secara dalam talian itu. Difahamkan, lebih 700,000 'beratur' untuk mendapatkan tiket berkenaan.

Selain peminat tegar yang teruja dengan kedatangan band dari London itu, ada juga yang marah-marah. Ada pihak yang mendesak konsert mereka dibatalkan kerana Coldplay dikatakan membawa budaya negatif.

Jadi, dalam masa sama, nama Coldplay terus meniti di bibir rakyat Malaysia walaupun ada di antaranya tak pernah mendengar nama Coldplay.

Kenapa Coldplay yang dianggotai Chris Martin (penyanyi), Jonny Buckland (gitar), Guy Berryman (bass) dan Will Champion (dram) ini cukup diminati?

Coldplay adalah band rock paling berjaya di dunia ketika ini dengan jualan album lebih 100 juta unit. Mereka mula menjadi sebutan selepas tampil dengan album sulung, Parachutes pada 2000.

Apa yang menarik, walaupun ditubuhkan pada pertengahan era 90-an, tetapi Coldplay diminati semua generasi terutama generasi muda pada hari ini.

Mereka bermula dengan rock alternatif dan Britpop sebelum bereksperimen dengan pelbagai muzik pop bersesuaian dengan abad ke-21.

Paduan melodi indah dan menyentuh hati nyanyian Martin membuatkan ramai 'jatuh hati' dengan band ini.

Dalam erti kata lain, Coldplay disenangi oleh setiap generasi bermula dengan era 90-an.

Bercerita mengenai konsert mereka, Coldplay cukup mempesonakan. Mereka adalah band yang memperkenalkan Xyloband iaitu gelang bercahaya yang bertukar warna mengikut lagu.

Gelang itu mula digunakan pada konsert jelajah Mylo Xyloto pada 2012. Xyloband selepas diperkenalkan Coldplay, mula digunakan secara meluas dalam penganjuran konsert dan persembahan.

Penggunaan gelang itu oleh ribuan penonton di stadium menjadikan suasana konsert Coldplay ibarat lautan cahaya.

- FOTO Google
- FOTO Google

JUALAN tiket konsert habis dalam masa tiga jam. - FOTO Google
JUALAN tiket konsert habis dalam masa tiga jam. - FOTO Google

Berikut beberapa fakta menarik mengenai Coldplay:

  • Mereka bermula di London pada 1996 dengan nama Pectoralz. Kemudian ditukar kepada Starfish sebelum menggunakan nama Coldplay pada 1998.

  • Album sulung, Parachutes dirakamkan di empat studio berbeza.

  • Will Champion tiada pengalaman bermain dram ketika dia menyertai Coldplay pada 1996.

  • Chris Martin pernah tampil sebagai cameo dalam filem Shaun Of The Dead. Ini kerana dia bersama penulis dan pelakon filem itu, Simon Pegg adalah rakan lamanya.

  • Jonny Buckland pernah bekerja sebagai pencuci di sekolah.

  • Guy Berryman adalah seorang kidal, tetapi dia bermain bass menggunakan tangan kanan.

  • Chris Martin suka menaiki pengangkutan awam terutamanya tren London Underground untuk ke lokasi konsert Coldplay di sekitar London. Ketika dia menaiki tren itu, tiada seorang pun penumpang mengenalinya.

  • Coldplay memegang rekod bagi band paling banyak menerima pencalonan Brit Awards dengan 30 pencalonan secara keseluruhannya. Daripada jumlah itu, mereka menang sembilan termasuk British Group dan British Album of The Year pada 2011.

  • Coldplay pernah menolak tawaran kontrak mewah daripada Diet Coke, Gap dan Gatorade kerana tidak suka dengan penajaan.

  • Coldplay menyokong beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan kebajikan seperti Amnesty International, Make Poverty History dan Oxfam.
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:00 AM