FOTO jari Shuib dipegang anak bongsunya, Ayash Affan.
FOTO jari Shuib dipegang anak bongsunya, Ayash Affan.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu berkongsi berita gembira mengenai kepulangan anak bongsunya, Ayash Affan yang dibenarkan dibawa pulang ke rumah hari ini. 

Dalam hantarannya di Instagram, Shuib turut berkongsi gambar tangan kecil bayi lelaki itu yang sedang memegang jarinya. 

"Syukur Ya Allah. Esok hari jadi ibu (15 September). Allah hadiahkan kepulangan Ayash Affan hari ini. Insya-Allah sekejap lagi dah boleh balik dah," tulisnya di Instagram. 

Dalam hantaran sama, Shuib juga menggambarkan tangan dan jari itu mengingatkan dia kepada isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos lalu. 

"Allahuakbar. Tangan, jari 'sebijik' tangan ibu. Terima kasih semua mendoakan kesejahteraan anak soleh ini. Terima kasih semua. Syukur ya Allah atas rahmat-Mu," tulisnya. 

Ayash selamat dilahirkan pada 6 Ogos lalu secara pembedahan selepas Siti Sarah ditidurkan akibat Covid-19. 

Selain Ayash, perkahwinan Shuib dan Siti Sarah juga dikurniakan  tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:52 PM