Shuib ziarah pusara Siti Sarah yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Shuib ziarah pusara Siti Sarah yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Mata Ayash tutup ketika tidur tetapi air matanya mengalir. Kejadian itu berlaku malam tadi. Mungkin dia merindui arwah ibunya," kata pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, ketika berkongsi mengenai anak bongsunya, Ayash Affan, 2 tahun, selepas genap dua tahun pemergian Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissudin.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata, bukan sahaja Ayash, malah, tiga lagi anaknya juga tidak pernah melupakan arwah ibu mereka.

"Selepas solat Isyak, malam Selasa lalu, saya bertanya Talita esok (9 haribulan) hari apa dan dia terus beritahu mengenai genap dua tahun pemergian arwah ibunya.

"Arwah Siti Sarah sentiasa dalam hati saya dan anak-anak. Sudah menjadi rutin kami untuk menitipkan doa buat arwah setiap hari sebelum tidur," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai hubungan anak-anak dengan isterinya, Watie Hanifiah pula, kata Shuib, dia bersyukur kerana dikurniakan wanita yang cukup memahami dan menjadi pengganti untuk anak-anaknya menumpang kasih.

"Saya melihat anak-anak sangat gembira dengan 'mommy' baru mereka sekarang. Watie pandai memasak dan anak-anak juga suka dengan masakannya.

"Apa yang penting, perkembangan kesihatan mental anak-anak yang semakin membesar baik dan positif dengan kehadiran Watie dalam hidup kami sekeluarga.

"Malah, anak saya, Matin juga sangat rapat dan melekat dengan Watie sampai saya pula berasa seperti dipinggirkan," katanya.

Mengulas majlis untuk arwah Siti Sarah pula, kata Shuib, dia juga mengadakan sambutan 'Family Day' atau hari keluarga serta tahlil sempena genap dua tahun pemergiannya.

"Kami buat sambutan hari keluarga dan majlis tahlil untuk arwah kerana saya tahu arwah memang suka buat majlis yang mengeratkan hubungan kekeluargaan seperti ini.

"Selain itu, Insya-Allah, saya juga merancang untuk bawa anak-anak untuk melawat ke kubur arwah ibu mereka hujung minggu ini.

"Saya tidak dapat bawa anak-anak ke kubur pagi semalam kerana mereka berada di sekolah," katanya.

Untuk rekod, 9 Ogos lalu genap dua tahun pemergian Siti Sarah akibat Covid-19. Shuib mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Watie pada 23 Jun lalu. Hasil perkongsian hidup dengan arwah Siti Sarah, mereka dikurniakan empat anak iaitu Uwais Alqarni, 12; Dzahira Talita Zahra, 10; Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 12:33 PM