WAJAH anak Shuib Ayash Affan.
WAJAH anak Shuib Ayash Affan.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak, Shuib Sepahtu buat pertama kalinya berkongsi wajah anak bongsunya, Ayash Affan dalam satu video berdurasi dua minit lapan saat di Instagram.

Dalam hantaran itu, Shuib menulis keterangan ringkas dan mewakili anaknya untuk mengucapkan terima kasih atas doa-doa orang ramai.

"Assalamualaikum. Nama saya Ayash Affan bin Shahmira. Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan saya," tulisnya.

Dalam video itu, kelihatan Ayash yang sedang nyenyak tidur di katil bayi dengan berpakaian serba putih.

Dilatari lagu Anakku dendangan Vina Panduwinata, video itu dilihat menyentuh emosi setiap yang menontonnya.

Selepas dua jam pertama ia dimuat naik, video itu diulang tonton hampir 200,000 tontonan di Instagram.

Ribuan komen netizen dan rakan-rakan artis membanjiri ruangan komen dan semuanya mendoakan agar Ayash akan membesar menjadi anak soleh.

Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu secara pembedahan, tiga hari sebelum ibunya yang juga penyanyi, Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir.

Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 201. Selain Ayash, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:20 PM