SHUIB bersama anak-anak, Uwais (dari kiri), Talita dan Matin ketika melawat ke kubur Allahyarham Siti Sarah, semalam.
SHUIB bersama anak-anak, Uwais (dari kiri), Talita dan Matin ketika melawat ke kubur Allahyarham Siti Sarah, semalam.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Shuib Sepahtu, 37, bersyukur dipermudahkan segala urusannya dalam penjagaan anak bongsu, Ayash Affan yang sudah tiga hari dibawa pulang ke rumah.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad menerusi perkongsian di Instagram, memaklumkan bayinya yang berusia 43 hari itu mudah dijaga, tidak banyak ragam dan berada dalam keadaan sihat.

"Dua hari dah daddy dengan Ayash, alhamdulillah anak yang sihat, anak yang baik, tak banyak perangai, nangis pun kadang-kadang saja. Tapi, kalau nangis tu saja biarkan lama sikit sebab suara Ayash  terlalu sedap didengar.

"Semoga terus sihat dan semoga Allah menjadikan anak yang soleh. Doakan kami ya," tulisnya dengan perkongsian sekeping foto sedang mendakap Ayash dalam dukungannya.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram Story pula difahamkan Shuib ada mengadakan majlis bacaan Yassin secara virtual buat isterinya, Allahyarham Siti Sarah yang disertai ahli keluarga, saudara dan kenalan rapat pada malam semalam bersempena hari lahir arwah ke-37, pada tanggal 15 September.

Terdahulu, semalam juga Shuib berkongsi video berdurasi satu minit dan 20 saat di Instagram yang memaparkan dia bersama tiga anaknya, Uwais, Talita dan Matin melawat ke kubur Siti Sarah untuk membaca Yassin dan doa buat Allahyarham.

"Subhana-Allah, Alhamdulilah, Allahuakbar. Selamat hari ulang tahun kelahiran ke-37 sayang. Hari ini (semalam), saya dan anak-anak sambut hari jadi awak di rumah baru awak.

"Insya-Allah walaupun berbeza keadaan, saya tahu awak ada dengan kami. Rasa cinta yang tetap sama, Insya-Allah. 

Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan letakkan awak disyurga tertinggi. Semoga Allah satukan kita semua di syurga, amin. Al-Fatihah buat Siti Sarah Raissuddin," tulisnya.

Terdahulu, Shuib juga menitipkan rasa syukur tidak terhingga apabila dapat membawa Ayash pulang ke rumah pada Selasa lalu selepas 40 hari dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dilahirkan pada 6 Ogos lalu.

Shuib menyifatkan kehadiran Ayash di rumah sebagai hadiah daripada Allah buatnya dan anak-anak bersama keluarga berikutan semalam adalah hari ulang tahun kelahiran Siti Sarah yang kebiasaannya diraikan mereka bersama-sama.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu. Terdahulu, pasangan ini bernikah pada 26 Februari 2011 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:17 PM