SITI Sarah dan Shuib.
SITI Sarah dan Shuib.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bayi pasangan selebriti Shuib dan Siti Sarah yang diberi nama Ayash Affan sudah mula menunjukkan perkembangan positif.

Bayi itu dilahirkan pramatang iaitu tujuh bulan menerusi pembedahan ekoran keadaan Siti Sarah yang ditidurkan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, akibat tahap oksigen menurun, semalam.

Shuib berkata, bayi juga anak keempat mereka itu dalam keadaan stabil.

"Alhamdulillah, sedikit perkongsian untuk Ayash Affan (bayi baru lahir pramatang tujuh bulan). Dr Faiz HUKM beritahu, alhamdulillah, pagi ini dia dah buka mata, kaki dah menendang-nendang, tangan bergerak aktif dan keadaan bayi stabil," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Shuib mengucapkan terima kasih dan doa yang sudah ditipkan buat isterinya dan bayi mereka.

"Ya Allah, syukur. Ini juga berkat doa anda semua yang tak henti-henti mendoakan kesihatan Ayash. 

"Saya balikkan doa-doa kalian, semoga anda juga dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik, terhindar dari segala kemudaratan. Insya-Allah, amin," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Siti Sarah selamat melahirkan cahaya matanya itu menerusi proses pembedahan, pada petang, samalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 12:23 PM