Kuala Lumpur: Pelawak Shuib, 37, tidak menduga perkhabaran duka mengenai pemergiaan Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin, semalam, tersebar hingga ke Tanah Suci Makkah.
Shuib menerusi perkongsian video berdurasi satu minit dan 20 saat yang dimuat naik di Instagram, menunjukkan seorang imam sedang melakukan solat jenazah ghaib secara berjemaah di dalam Masjidil Haram di Makkah
Difahamkan solat jenazah ghaib yang dilakukan dalam waktu Zohor itu adalah untuk Allahyarham Siti Sarah.
"Allahuakbar, Allah Maha Besar dapat kiriman video solat jenazah ghaib dalam Masjidil Haram. Allah terlalu sayang awak ibu... Bergembiralah disyurga bidadariku Siti Sarah," tulisnya ringkas.
Menerusi perkongsian itu, video berkenaan hingga kini sudah mendapat lebih 800,000 tontonan dan lebih 11,000 komen daripada warganet yang sangat tersentuh hati.
Rata-rata komen ditulis warganet pula menunjukkan rasa kagum mereka terhadap amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Siti Sarah ketika hayatnya.
Memetik komen ditinggalkan Ustaz Ebit Lew, beliau berkata Allah sayang @shuibsepahtu dan @sitisarahraissuddin, janji Allah itu benar buat orang yang baik dermawan dan taat pada suami dan fikir umat yang ada padanya.
Semalam, seluruh negara dikejutkan dengan berita sedih kematian Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM jam 5.13 pagi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.
Terdahulu, Siti Sarah bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu dan menjalani kuarantin diri di rumah.
Bagaimanapun, Siti Sarah yang sarat hamil tujuh bulan berhadapan masalah pernafasan dan dikejarkan ke HCTM pada 4 Ogos lalu sebelum ditidurkan dan kemudian, menjalani pembedahan mengeluarkan bayi pada 6 Ogos. Arwah selamat melahirkan anak lelaki diberi nama Ayyash Affan.
Berita berkaitan