NADIA Aqilah anggap bakat baru dalam industri seni asalnya selebriti media sosial sebagai rezeki mereka.
NADIA Aqilah anggap bakat baru dalam industri seni asalnya selebriti media sosial sebagai rezeki mereka.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Nadia Aqilah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana bakat lakonannya begitu berpengaruh dalam industri seni lakon tanah air.

Berikanlah apa juga watak, pemilik nama asal Nadia Aqilah Bajuri ini akan membawanya dengan sepenuh hati sekali gus meninggalkan impak dalam hati setiap penonton.

Berehat selama lebih setahun memberi ruang buat Nadia untuk memerhati dan meninjau perkembangan industri sebelum membuat keputusan untuk kembali beraksi menerusi drama terbaru, SiTikTok.

Beredarnya waktu, industri seni lakon tanah air juga kini mula menampilkan bakat-bakat yang asalnya bermula sebagai selebriti media sosial yang digelar sebagai Instafamous dan 'influencer' di media sosial.

"Kalau tanya pendapat saya, saya anggap itu sebagai rezeki mereka. Mungkin pengarah-pengarah percaya dengan bakat mereka dan berikan kepercayaan untuk berlakon," katanya.

Menurut Nadia yang juga aktif sebagai pelakon teater, seseorang pelakon perlu tahu akan tanggungjawabnya dan tidak boleh tersalah langkah.

"Contohnya untuk penggambaran drama bersiri. Jika dalam minggu pertama, segalanya hancur lebur, tapi bila nampak kemajuan, anda akan disayangi bukan saja oleh pengarah, bahkan seluruh pasukan produksi.

"Namun, kalau anda tidak cuba untuk memajukan diri dan memperbaiki kelemahan, itu jadi satu masalah yang saya sendiri sebagai pelakon pun tak mahu berurusan dengan perkara itu," katanya.

NADIA kini kembali beraksi dalam drama SiTikTok.
NADIA kini kembali beraksi dalam drama SiTikTok.

Menurutnya, setiap manusia dibentuk dengan kemampuan dan kelebihan dalam bidang masing-masing.

"Nak jadi 'influencer' pun bukanlah satu tugas mudah. Kena pandai melakukan banyak perkara. Kalau betul-betul seseorang itu bagus dalam bidang itu, buat betul-betul.

"Tak semestinya kena jadi pelakon. Sebab mereka kebanyakannya hebat dalam bidang yang mereka lakukan. Kalau suruh saya jadi 'influencer', tak ada siapa nak tengok sebab saya tak ada kemampuan atau bakat seperti yang mereka ada sebagai 'influencer'. Anda tahu bakat dan kemampuan anda, jadi tajamkannya," katanya.

Terbaharu, Nadia kini membintangi drama SiTikTok yang turut membariskan beberapa pelakon lain antaranya, Scha Elinnea, Nelissa Nizam, Niezam Zaidi dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:20 AM