NADIA tidak sangka masih dapat peluang dan watak baharu untuk dilakonkan.
NADIA tidak sangka masih dapat peluang dan watak baharu untuk dilakonkan.
Najiy Jefri


KELIBAT pelakon Nadia Aqilah dalam industri seni tempatan masih menjadi sebutan dan meraih perhatian ramai.

Apa tidaknya, kemampuan dia membawakan pelbagai karakter mencabar membuatkan wanita yang sudah hampir 16 tahun berkecimpung dalam industri seni ini terus mendapat kepercayaan daripada penggiat seni lain.

Terbaharu, Nadia tampil dalam siri drama berjudul Dukun Diva yang menemui penonton di Astro Originals.

Nadia berkata, ketika memilih untuk berehat daripada industri seni saat hamil anak pertama pada 2019, dia pernah terfikir kerjaya seninya sudah berakhir.

"Ketika hamil anak pertama saya mengalami alahan yang teruk. Saya terpaksa memilih untuk berehat seketika dari pentas lakonan.

"Kemudian, saya merancang untuk kembali semula selepas bersalin pada awal tahun lalu, bagaimanapun negara dilanda pandemik Covid-19 pula.

"Ketika duduk di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya pernah terfikir, adakah kerjaya lakonan saya sudah berakhir?," katanya.

Bagaimanapun, wanita berusia 36 tahun itu tidak menyangka apabila kehadirannya masih mendapat peluang dan watak baharu untuk dilakonkan.

Menurut isteri kepada vokalis dan gitaris kumpulan Seven Collar T-Shirt, Saiful Ridzuan Sharafuddin itu, dia berharap laluan kerjaya seninya sebagai pelakon akan terus melakar kejayaan demi kejayaan.

NADIA akui amat teruja dipertemukan dengan Eyka yang memegang karakter Lola dalam Dukun Diva.
NADIA akui amat teruja dipertemukan dengan Eyka yang memegang karakter Lola dalam Dukun Diva.

"Saya harap walaupun sudah memegang status isteri dan ibu, masih terus mendapat kepercayaan pihak produksi. Saya mahu anak bangga melihat lakonan saya suatu hari nanti dan bukan watak yang sekadar 'lalu' di skrin."

Kalau kita lihat Hollywood atau broadway, pelakon wanita yang berusia 30-an mendapat kepercayaan untuk memegang watak yang lebih besar dan kuat.

"Jadi, saya harap watak Che Yah dalam drama Dukun Diva ini bakal menjadi permulaan untuk 'penghasilan' watak wanita yang lebih kuat dan utuh," katanya.

Ditanya mengenai wataknya dalam Dukun Diva, Nadia berkata, Che Yah ialah artis yang 'tak menjadi' pada era 1990-an, namun menggunakan bakatnya dengan menyamar sebagai dukun.

"Ketika tawaran ini datang, saya minta pengarah, Ariff Zulkarnain untuk menghantar nama saya ke stesen televisyen dulu kerana bimbang jika tak lepas. Tapi, memang tak sangka apabila Ariff beritahu nama saya dipersetujui penerbit, penulis skrip dan dia sendiri.

"Saya jadi sangat terkejut hingga kemudian hubungi Ariff semula dan bertanya mengenai watak saya. Sebaik mendengar mengenai karakter Che Yah, saya terus bersetuju kerana watak ini sangat menarik" katanya.

Tambah Nadia, dia berasa amat teruja lagi apabila dipertemukan dengan pelakon Eyka Farhana yang memegang karakter Lola dalam siri terbabit.

"Menjalani penggambaran dengan Eyka, saya tak perlu tunggu masa yang lama untuk mencipta keserasian.

"Hari pertama penggambaran kami sudah saling berkenalan dan mudah serasi. Walaupun penggambaran terhenti disebabkan PKP 3.0, tapi kami selalu berhubung membuatkan jadi lebih rapat," katanya.

Selain Nadia dan Eyka, Dukun Diva turut dibintangi pelakon lain seperti Emelda Rosemila, Tony Eusoff, Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon, Adlin Aman Ramlie dan Aloy Paradoks.

Ia turut dikuatkan lagi dengan penampilan istimewa beberapa pelakon terkenal seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi.

Episod pertama Dukun Diva ditayangkan serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria, jam 9 malam semalam. Sementara untuk minggu seterusnya nanti, ia bersiaran setiap Isnin, jam 9 malam, hanya eksklusif di Astro Citra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:35 AM