DINOBATKAN sebagai Pengarah Terbaik pada Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee.
DINOBATKAN sebagai Pengarah Terbaik pada Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee.

Pelakon Dira Abu Zahar yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi telefilem Redhaku Untukmu pada Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee, Sabtu lalu sekali lagi memecah tradisi kemenangan yang sebelum ini dimonopoli sutradra lelaki.

Dira, 32, menyifatkan anugerah yang diterima itu bukan alasan untuk bermegah sebaliknya itu sebagai bukti kerja keras atas usaha yang ditonjolkan selama ini.

Perkara itu sekali gus menutup cakap-cakap segelintir pihak yang mempertikai kemampuan bakat figura ini dalam dunia pengarahan.

Namun timbul persoalan sejauh mana kesediaan Dira untuk mengarah drama adaptasi novel yang ketika ini menjadi trend di kebanyakan stesen TV.

Apatah lagi Dira yang juga pengarah Teater Muzikal Dia Semanis Honey dikenali dengan personaliti tegas dalam berkarya. Dalam erti kata lain mementingkan kualiti daripada populariti.

Bersama wartawan Sudirman Mohd Tahir, Dira menjawab isu ini apabila pengarah disogokkan dan dalam keadaan ‘terpaksa’ mengarah drama sebegitu.

RAP: Boleh kongsikan kemenangan anda pada malam Anugerah Kaseh Tribute P Ramlee?

DIRA: Setiap kali mengarah sesebuah karya, saya tak pernah mendabik dada untuk mengatakan itu hasil karya saya. Sebaliknya ia terhasil daripada pasukan yang bagus. Jadi dengan kemenangan ini saya berharap tak timbul lagi persoalan boleh atau tidak saya mengarah. Anugerah ini bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi ingin membuktikan usaha saya. Saya bukan jenis mengharap pengiktirafan. Apa yang penting adalah hasil kerja.

RAP: Sejauh mana anda melihat graf kerjaya ada dalam dunia pengarahan?

DIRA: Saya nak menjangkakan perkara ini pun susah. Ini kerana saya jenis mengikut aturan yang ditetapkan. Namun pada masa sama perlu ada cita-cita. Dalam tempoh satu atau dua tahun ini, saya nak mengarah lebih banyak cerita yang berkualiti. Saya tidak menekankan mesej yang ingin disampaikan dalam karya sebelum mula mengarah kerana yakin ia akan hadir dengan sendirinya dalam naratif yang dipaprkan. Saya lebih suka jika penonton menilai sendiri. Oleh itu, tugas pengarah yang perlu menonjolkan mesej itu.

RAP: Sejauh mana kesediaan anda mengarah drama adaptasi novel?

DIRA: Dunia hiburan tempatan kita memang sudah dibentuk sejak dahulu lagi. Apa yang pasti ia bermusim. Kalau seorang yang buat, semua akan ikut. Bagaimanapun, ia terpulang kepada pilihan masing-masing. Apa yang jelas isu ini ada pro dan kontra. Sekarang, drama adaptasi novel menjadi trend berbanding karya asal. Jika itu langkah terbaik dalam strategi pemasaran, saya akur. Tapi tak bermakna seorang pengarah itu tak boleh memberi ‘rasa’ dalam karya sentuhannya.

RAP: Adakah anda yakin perkara ini menjamin masa depan bidang penerbitan drama?

DIRA: Dalam perkara ini tak timbul isu memburuk atau merosakkan karya. Malah jauh sekali nak mengatakan kredibiliti pengarah itu rendah jika mengarah drama sebegini. Bagi saya setiap perkara ada tarikh luput. Jadi raikan saja apa yang ada sekarang. Secara peribadi saya okey saja untuk mengarahkan apa jua genre karya. Apa yang penting penonton suka.

RAP: Komen anda apabila pengarah wanita dikatakan terlalu ‘emosi’ dalam berkarya?

DIRA: Sebagai pengkarya kita tak boleh terlalu kosong. Sebaliknya perlu wujudkan semua perasaan yang ada. Tak boleh sempitkan pemikiran kepada satu subjek saja. Disebabkan itu saya sentiasa meletakkan diri dalam kedudukan dan perspektif lelaki dan wanita. Ini kerana saya tak mahu ada sekatan emosi dalam berkarya.

RAP: Khabarnya anda nekad bersara daripada bidang lakonan?

DIRA: Sampai masa pelakon pun tahu bila mereka nak bersara. Mungkin ada yang memilih selepas berkahwin. Namun saya berbeza apabila menjadikan bidang pengarahan sebagai fokus utama sekarang. Untuk seseorang pengarah wanita diterima dan diiktiraf hasil kerjanya bukan sesuatu yang mudah. Disebabkan itu saya perlu fokus dan serius dengan apa yang sedang diusahakan.

RAP: Kiranya dakwaan mengatakan anda merajuk dalam bidang lakonan tak betul sama sekali?

DIRA: Kalau saya merajuk siapa pula yang nak memujuk? Semua itu tak betul. Ini adalah pilihan saya kerana mahu bekerja di belakang tabir. Saya sudah lama ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar. Bagi saya seorang pelakon yang ingin menjadi pengarah bukan mudah jika tidak bekerja keras. Apatah lagi bidang ini dimonopoli lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:04 AM