SCHA Elinnea melakonkan watak Siti.
SCHA Elinnea melakonkan watak Siti.
Norhayati Nordin


SEIRING perkembangan teknologi masa kini, kita dapati peranan media sosial sangat berpengaruh dalam kalangan generasi muda.

Kini, platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok begitu menjadi perhatian. Malah, ada di antara penggunanya sangat aktif membuat kemas kini.

Apapun, menerusi drama terbaharu di TV3 berjudul SiTikTok akan membawa penonton mendasari angan-angan Siti yang menyimpan impian untuk dikenali sebagai seorang 'TikToker' yang popular.

Meskipun, seorang wanita kampung Siti tidak berasa ia satu halangan baginya menerokai perkembangan teknologi masa kini terutama media sosial. Siti ternyata individu yang aktif membuat kemas kini.

Bagaikan rutin utama, Siti suka berkongsi video-video menarik yang sudah dirakamnya di setiap pelosok kampung ke akaun TikTok. Apa saja aktiviti orang kampung akan dijadikan bahan karya Siti di dalam videonya.

Sikap Siti yang seperti tidak terkawal itu menyebabkan keluarga tunangnya, Harun mula berasa malu dengan obsesi Siti dan mendesak pemuda itu untuk memutuskan hubungan.

Kegagalan dalam pertunangannya tidak membuat Siti patah hati. Malah, dia nekad untuk mencari peluang baharu di Kuala Lumpur.

Namun, dia perlu memujuk dan merayu ibunya supaya bersetuju dengan hasratnya.

Siti akhirnya berhijrah juga ke ibu kota dengan syarat dia perlu tinggal bersama sepupunya, Jaja. Teruja dengan kehidupan baharu itu, Siti tidak sedar kehadirannya tidak disenangi orang lain.

Jaja pula menjalankan bisnes atas talian dengan peralatan lengkap dan bilik khas untuk merakamkan video dan menyimpan stok. Teman serumah mereka, Maru pula mempunyai bisnes 'food truck'.

Namun, sikap mesra Siti turut menarik minat seorang artis rock kapak, Chuchox untuk mendampinginya dan menawarkan peluang untuk mereka bekerjasama.

Siti juga semakin mendapat kepercayaan kenalannya untuk membuat 'review' produk tanpa pengetahuan Jaja. Hanya berpandukan minat, Siti mula mengenali dunia media sosial yang sebenar.

Bagaimanapun, muncul pula gerangan Miss Rona yang menjadi pujaan dan ikutan pada kalangan 'influencer' lain. Siapa

kah Miss Rona dan apakah Siti juga akan menginspirasikan wanita diminati ramai itu?

Drama SiTikTok diarahkan oleh Joon Goh dengan skrip ditulis Nadia Khan, Adib Zaini, Dayang Noor dan Jarr Nadjmuddean.

Barisan pelakon pula menampilkan Scha Elinnea sebagai Siti, Niezam Zaidi (Shon), Nadia Aqilah (Miss Rona), Nelissa Nizam (Jaja), Zamaera (Maru), Kahoe (Xander) dan Acong Sweetchild (Chuchox).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:48 AM