Elizabeth Tan.
Elizabeth Tan.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Elizabeth Tan, 27, mendedahkan dia terpaksa menghantar surat guaman untuk keluar dari Warner Music Malaysia (Warner) selepas tiga tahun bernaung di bawah syarikat rakaman itu.

Elizabeth atau Lizzy berkata, proses perundingan untuknya keluar secara rasmi ternyata agak sukar kerana belum mendapat kata sepakat daripada syarikat rakaman itu sehingga membabitkan peguam.

Penyanyi lagu Knock Knock itu berkata, alasan utamanya untuk keluar adalah bagi berdikari memfokuskan kepada kerjayanya.

"Urusan guaman untuk saya keluar dari Warner sudah hampir selesai daripada pihak saya. Segala urusan hitam putih peguam saya sudah serahkan kepada mereka bagi menyelesaikan hal ini sepenuhnya.

"Masalah dalaman memang tidak boleh dielakkan dalam apa saja bidang. Saya sendiri cuma berhajat untuk keluar dengan tenang dan sangat menghargai jasa syarikat itu menaikkan nama saya sebelum ini.

"Bagaimanapun, sekarang saya kena fikir untuk memajukan diri kerana fokus saya bukan kepada muzik semata-mata. Saya ada perniagaan sendiri serta kerjaya lakonan yang perlu dikembangkan lebih jauh," katanya yang tamat kontrak dengan Warner sejak Februari lalu.

Elizabeth berkata, dia sudah menghantar surat guam berkenaan sejak Februari lalu. Bagaimanapun,

rundingan antara mereka berdepan kesukaran apabila kata sepakat belum dicapai sepenuhnya.

Justeru, dia meminta bantuan peguam bagi melancarkan proses itu termasuk penyerahan bukti-bukti kewajipan yang sudah dipenuhi mengikut kontrak ditetapkan syarikat.

"Saya percaya saya sudah memenuhi segala tanggungjawab seperti dalam kontrak dan sebolehnya mahu berundur dengan baik. Sekarang saya cuma masih menunggu untuk mereka melepaskan saya pula walaupun secara teknikal sudah boleh berbuat demikian.

"Keputusan ini sebenarnya sudah saya fikirkan sejak tahun lalu. Buat masa sekarang, saya akan menguruskan diri sepenuhnya dengan bantuan ibu serta penolong saya, Athirah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 2:14 PM