ELIZABETH lebih berhati-hati pilih kawan terutama dalam bidang seni kerana bimbang perkara sama berulang.
ELIZABETH lebih berhati-hati pilih kawan terutama dalam bidang seni kerana bimbang perkara sama berulang.
Oleh Ramlah Zainal

Baru saja berkecimpung dalam bidang seni, nama penyanyi jelita kelahiran YouTube, Elizabeth Tan sudah terpalit dengan gosip liar dan kontroversi yang turut menjejaskan nama baiknya, sejak kebelakangan ini.

Selepas didakwa menjadi punca perpisahan penya­nyi popular, Adira dan bekas tunangnya, Shahrul Nasrun, dirinya dikaitkan pula dengan bekas suami pelakon popular, Nabila Huda iaitu Eddie (Tiga Swagger) yang bernaung di bawah pengurusan sama dengannya.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Elizabeth Tan Su Mei, 22, yang popular dengan lagu Knock Knock mengakui dirinya berasa trauma dengan apa yang berlaku itu.

“Saya mula berasa takut untuk keluar dengan orang dalam bidang seni terutama lelaki kerana bimbang menjadi sasaran gosip lagi.

“Kini, saya juga lebih berhati-hati untuk memilih kawan terutama dalam bidang seni kerana bimbang jika perkara sama berulang,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Elizabeth mengakui dirinya turut dihimpit golongan kenamaan dan VIP.

“Memang ramai lelaki yang cuba mendekati termasuk golongan kenamaan dan VIP yang ingin berkenalan tetapi saya terpaksa menolaknya secara baik.

“Pada mulanya, mereka menghubungi saya kerana urusan kerja tetapi saya akan cepat-cepat menghentikan perbualan bila dapat tahu rupa-rupanya mereka ingin mendekati saya,” katanya.

Elizabeth berkata, dia juga tidak takut berdepan orang mahupun pihak media kerana yakin dirinya di pihak yang benar.

“Kenapa saya perlu takut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan pun.

“Apapun, saya berasa lega gosip yang mendakwa saya menjadi punca keretakan hubungan Adira dan bekas tunangnya, Shahrul Nasrun itu sudahpun selesai.

“Saya berasa terharu kerana Adira sendiri menghubungi kerana ingin membersihkan nama saya dari gosip berkenaan.

“Bekas tunangnya pula tidak berani berhubung dengan saya selepas apa yang berlaku itu,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya sudah memiliki teman istimewa, Elizabeth menafikannya.

“Buat masa ini, saya fokus pada karier nyanyian dan ingin mempromosikan single baru berjudul Setia.

“Justeru, saya memang tiada masa untuk mencari teman istimewa lagi,” katanya.

Elizabeth ditemui pada tayangan perdana filem Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium di Cathay e@Curve di sini, baru-baru ini.

Filem yang mula menjengah pawagam tempatan bermula 3 September itu menampilkan barisan pelakon seperti Usop Wilcha, Namron, Along Eyzendy, Zami Hitler dan Farah Dhiya.

Ambil kelas lakonan

Walaupun lakonannya sebagai Tyra dalam filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium mendapat pujian produser, Elizabeth mengakui dirinya belum bersedia untuk berlakon dalam projek filem baru.

“Memang saya minat berlakon sejak kecil tetapi masih banyak ilmu lakonan yang perlu dipelajari.

“Contohnya, saya juga melihat masih banyak kelemahan dalam menjiwai watak Tyra yang perlu diperbaiki lagi dalam filem itu.

“Justeru, saya bercadang untuk mengambil kelas lakonan untuk memantapkan prestasi sedia ada sebelum terima tawaran berlakon filem baru selepas ini.

“Kini, saya ingin mengukuhkan nama dalam karier nyanyian terlebih dulu,” katanya.

Berpewatakan lemah lembut bukan bermaksud Elizabeth hanya layak melakonkan watak wanita seksi dan penggoda di layar perak.

Sebaliknya, Elizabeth impi untuk beraksi dalam filem genre aksi sekali gus mencabar lakonannya pada masa depan.

“Saya memang minat dengan seni mempertahankan diri dan berharap dapat tawaran berlakon dalam filem aksi nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elizabeth berlepas ke United Kingdom selama seminggu pada penghujung September ini.

Kunjungannya ke negara itu untuk memenuhi undangan persembahan sempena pembukaan Hotel YTL di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 11:10 AM