SAMSONS tampil dengan album baharu berjudul V.
SAMSONS tampil dengan album baharu berjudul V.
Georgie Joseph

PERJALANAN muzik selama 15 tahun ternyata menjadi profil yang cukup kukuh buat kumpulan Samsons. Bukan sekadar menakluk peminat di negaranya, tapi kumpulan dari Indonesia ini juga kukuh namanya pada kalangan peminat Malaysia.

Kini Samsons yang dibarisi Aria Dinata selaku vokalis, Irfan Aulia Irsal (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Aldri Dataviadi (bass) kembali memeriahkan industri muzik dengan album baharu berjudul V.

Semestinya dinantikan peminat tegar mereka, kumpulan itu juga mengakui teruja dengan pelancaran album terbabit. Apalagi, mereka sendiri sudah lama tidak muncul dengan karya baharu dan V adalah pertaruhan cukup menarik.

Mana tidaknya, album itu mendapat khidmat 55 pemuzik terbaik orkestra di Budapest. Mereka terdiri daripada pemain alat muzik bertali, tiup kayu, bras serta seorang pemain genderang yang sering membuat skor muzik untuk filem Hollywood.

Berkongsi pembikinannya, Irfan mengakui prosesnya tertunda sejak beberapa tahun lalu disebabkan mereka inginkan kualiti yang terbaik. Di samping itu, mereka ingin menyerlahkan evolusi daripada corak penghasilan karya mereka.

"Kami menyiapkan album itu dalam tempoh lapan bulan dan sebenarnya sudah siap sejak 2016. Album itu banyak keistimewaannya dan yang paling utama semestinya kerjasama sulung bersama orkestra dari Budapest itu.

"Album ini memiliki momentum dan stimulasi berbeza dengan album terdahulu, di mana kami ingin mendidik pendengar sebagaimana dilakukan kumpulan Coldplay. Karya dihasilkan mereka mengandungi filosofi tersendiri yang menyebabkan karyanya sentiasa pelbagai.

"Itu juga yang Samsons hendak tampilkan dalam album ini. Kami turut pelbagaikan genre untuk lagu baharu ini berbanding sebelumnya. Ada lagu balada, rancak, pop, pop rock dan lain-lain," katanya.

Irfan mengakui proses pembikinannya bukan mudah apalagi mereka sendiri perlu banyak perbincangan dengan pasukan orkestra terbabit. Sebagai komposer dan penulis penuh untuk album V, dia terpaksa bekerja lebih keras.

"Terus terang prosesnya memang sangat memenatkan bagi kami. Apalagi, buat saya selaku pencipta lagu dan penulis lirik, banyak perlu diteliti serta disiapkan dengan sebaiknya. Terutama sekali, bahagian orkestra.

"Saya bukan pakar dalam muzik sebegini dan cuma tahu yang asas saja. Jadi, di situ timbul cabaran yang agak besar untuk melunaskan album ini. Tambahan pula, komunikasi agak terbatas dengan pasukan orkestra dari Budapest yang rata-rata tidak bertutur Inggeris.

"Selain itu, kami juga ada tarikh tetap yang perlu dikejar untuk memastikan ia siap seperti dijadualkan. Namun semestinya kepuasan itu sukar digambarkan apabila akhirnya kami dapat melancarkannya," katanya.

Sebagai kumpulan yang sentiasa dinantikan kemunculannya, Samsons mengakui banyak perancangan kini diatur untuk merancakkan karier seni mereka. Antaranya, akan datang adalah konsert virtual sempena ulang tahun ke-15 mereka dalam industri.

"Ya, kami memang ingin adakan konsert virtual mengikut norma baharu ini. Ia bagi meraikan pembabitan kami yang memasuki tahun ke-15 dalam bidnag muzik. Ikutkan perancangan, konsert itu akan dibuat pada bulan depan.

"Kami bercadang untuk mengadakan konsert selama 15 minit sahaja di platform dalam talian termasuk YouTube. Kami akan gunakan sepenuhnya tempoh 15 minit itu untuk medley serta 'mash up' rangkaian lagu yang lama hingga baharu," katanya.

Berkongsi buah fikiran mengenai transisi pasaran muzik sekarang, Samsons tiada masalah untuk mengikut rentak promosi lagu lebih ke arah digital. Sebaliknya, mereka berkata, pendekatan itu jauh lebih efektif.

"Daripada segi pelancaran lagu misalnya, platform digital sebenarnya sangat membantu. Apalagi ia mudah diakses secara global. Selain itu, promosi daripada orang awam sendiri juga memang satu kelebihan.

"Jika dibandingkan sebelum ini, promosi untuk kami lebih banyak tertumpu kepada TV dan radio ternama sahaja. Sekarang, strategi pemasaran sudah berbeza dan kita semua kena beradaptasi terhadapnya," katanya.

Samsons mula meledak sekitar 2003 apabila lagu Kenangan Terindah mencetuskan fenomena luar biasa di sekitar Asia Tenggara. Ketika itu, vokalisnya masih Bams sebelum dia keluar daripada kumpulan terbabit pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:20 AM