Norhayati Nordin


SELAIN Search dan Wings, Exists juga boleh dilabel 'otai masih berbisa' dalam kalangan peminat, terutama pengemar muzik era 1990-an apabila populariti mereka dilihat kukuh hingga kini bersama lagu-lagu hits.

Ditambah juga rezeki masih ada pada hujung tahun ini, berikutan Exists akan kembali dengan persembahan konsert istimewa buat peminat yang terus menyokong karier muzik mereka selama 32 tahun ini.

Justeru, umpama 'melengkapkan' kembara itu, Exists akan muncul menjayakan konsert bersama iringan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Megastar Arena Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Walaupun tiada single baharu dihasilkan Exists, namun yang pasti lagu 'evergreen' mereka tetap banyak dan ada antaranya tular di media sosial kerana dinyanyi semula bakat muda dari Indonesia dengan lirik berbeza.

Dianggotai Ezad Lazim dan Mamat selaku penyanyi, Ajai (keyboard), Musa (bass), Along (gitar) dan Ujang (dram), mereka mengakui tiada masalah dengan lirik asal yang ditukar kepada Bahasa Indonesia itu.

Ezad berkata, lirik lagu Exists yang ditukarkan itu tidak perlu menjadi isu sebenarnya sebab memang sudah diubah sejak dulu ketika mereka mahu memasuki pasaran Indonesia pada 1996.

"Seingat saya, ia lagu dari album ketiga Exists iaitu Diammu Gunung Berapi yang dilancar pada 1995 di Malaysia dan apabila mahu ke Indonesia, kami harus akur judul album ditukar kepada Mencari Alasan termasuk beberapa lagu juga diubah liriknya.

"Jadi, apabila lagu seperti Buih Jadi Permaidani, Mencari Alasan dan Dirantai Digelangi Rindu yang dinyanyikan semula oleh bakat muda Indonesia dengan penggunaan Bahasa Indonesia, ia adalah lirik yang betul," katanya.

Ezad berkata, perjalanan muzik Exists sebenarnya sudah jauh di Indonesia dengan lagu-lagu popular mereka, cuma anggota kumpulan saja kurang dikenali kerana tiada undangan 'show' di negara itu.

"Penyanyi mereka nak datang buat persembahan di sini (Malaysia) agak mudah, tapi kalau kita hendak masuk ke pasaran tempatan sana (Indonesia) memang sukar. Namun, mujur sekarang ada perkembangan teknologi.

"Kini, boleh dikata anggota Exists mula dikenali juga oleh segelintir peminat muzik Indonesia menerusi platform YouTube dan TikTok yang banyak membantu. Apapun, soal lirik lagu ditukar itu bukanlah satu isu," katanya.

Musa pula berkata, dia sendiri ada pengalaman tidak bersetuju lirik asal lagu Exists perlu diubah kepada Bahasa Indonesia pada ketika itu kerana berasa ia tindakan tidak wajar dilakukan.

"Bagaimanapun, selepas melihat impak pada populariti lagu selepas lirik ditukar untuk memudahkan difahami masyarakat di sesebuah negara, saya akhirnya positif serta berasa ia membawa kebaikan juga.

"Pada saya, apapun lirik bahasa dinyanyikan itu selagi maksud lagu tidak berubah untuk pendengar memahaminya, tidak perlu menjadi isu. Kita kena berfikiran terbuka dengan perkembagan muzik tiada sekatan," katanya.

EXISTS masih berbisa selepas 32 tahun dalam industri muzik.
EXISTS masih berbisa selepas 32 tahun dalam industri muzik.

Harap tiket konsert laris

Berbicara mengenai Konsert Exists X Orkestra, apa yang diharapkan kumpulan ini agar tiket konsert laris sekali gus kira-kira 3,000 peminat hadir menyaksikannya.

Ajai berkata, Exists bakal mendendangkan 25 buah lagu yang mana durasi persembahan mereka mungkin berlangsung lebih dua jam dan semestinya menghiburkan kerana kali pertama diiringi dengan orkestra.

"Sejujurnya, kami sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan Orkestra DBKL untuk konsert ini kerana julung kali Exists akan membuat persembahan sebegini. Bagi saya, ini satu peluang keemasan kami.

"Sebagai kumpulan muzik berpengalaman, kami tidak akan sesakali melepaskan peluang bekerjsama dengan pemuzik orkestra kerana ada cabaran tersendiri. Apapun, kami berterima kasih dengan Orkestra DBKL," katanya.

Ditanya juga mengenai stamina diri kerana faktor usia anggota Exists yang kini mencecah 40-an, Ajai berkata, apa yang diharapkan agar mereka semua diberi kesihatan yang baik, tidur cukup dan pemakanan harian dijaga.

"Saya mohon doakan kami sihat-sihat saja dan boleh 'perform' dengan baik dalam Konsert Exists X Orkestra ini dari awal hingga selesai. Kami hanya mahu hiburkan peminat yang hadir di Megastar Arena KL nanti," katanya.Dalam konsert itu nanti, Mamat akan menyanyikan 11 lagu, manakala selebihnya akan dinyanyikan Ezad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 6:00 AM