PENONTON terhibur dengan persembahan Samsons.
PENONTON terhibur dengan persembahan Samsons.
Ridzuan Abdul Rahman


Kehadiran kumpulan Samsons bagi menjayakan Konsert Samsons 20th Anniversary yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini ternyata ditunggu-tunggu peminat.

Tanpa penyanyi asal, Bambang Reguna Bukit atau Bams yang kini digantikan oleh Adrian Martadinata sama sekali tidak menggugat populariti kumpulan yang turut membariskan Irfan Aulia (gitar), Aldri Dataviadi (bass) dan Erik Partogi Siagian (gitar).

Mereka hadir memenuhi segenap ruang dalam Zepp Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan terhadap kumpulan yang terkenal menerusi lagu Kenangan Terindah ini.

Samsons memulakan persembahan dengan lagu Kisah Tak Sempurna, Akhir Rasa Ini dan Kehadiranmu yang disambut dengan tepukan bergemuruh penonton.

Irfan selepas itu mengambil kesempatan bercerita mengenai dua lagu baru Samsons iaitu Rayu dan Rasa Yang Salah. Dia juga turut memperkenalkan Adrian yang pernah mempunyai album sendiri sebelum bersama mereka.

Penonton kemudian dihiburkan dengan lagu ciptaan Adrian, Ajari Aku yang sebelumnya pernah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain. Tepukan semakin bergemuruh.

Penonton ketika itu semakin teruja dengan persembahan Samsons yang semakin rancak dan bertenaga. Lagu-lagu pilihan seterusnya ialah Perbedaan, Di Ujung Jalan, Luluh, Tuhan Tak Pernah Salah dan Masih Mencintainya.

ADRIAN tampil dengan aksi tersendiri.
ADRIAN tampil dengan aksi tersendiri.

Persembahan Adrian yang energetik, membuktikan kehadirannya dalam Samsons sangat tepat. Dia juga dilihat serasi dengan mereka biarpun baru dua tahun menjadi sebahagian daripada Samsons.

Persembahan semakin rancak dengan lagu-lagu lain yang ditampilkan ialah Tak Bisa Memiliki, Electrify My Soul, Bukan Diriku, Seandainya, Di Penghujung Muda, Hey Gadis dan Naluri Lelaki.

Sehingga satu ketika, Adrian membuat kejutan apabila tiba-tiba muncul dari bahagian penonton untuk bersama-sama menyanyikan lagu Bukan Diriku dan Kenangan Terindah.

"Mari kita buat Kenangan Terindah untuk kita semua malam ini," katanya kepada penonton.

Lagu Dengan Nafasmu disampaikan sebagai lagu terakhir sekali gus melengkapkan 16 lagu yang dinyanyikan pada malam itu.

Ternyata banyak 'kenangan terindah' yang tercipta antara Samsons dan peminat menerusi konsert ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 6:11 AM