Penyanyi, Amira Othman.
Penyanyi, Amira Othman.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Kematian itu sesuatu yang pasti."

Demikian kata penyanyi, Amira Othman ketika diminta mengulas mengenai mesej yang disampaikan menerusi lagu barunya, Surat Akhir.

Amira ketika dihubungi berkata, kisah kematian kanak-kanak, Zubaidi Amir Qusyairi yang meninggal dunia secara tragis baru-baru ini turut menyentuh hatinya sekali gus dapat dikaitkan dengan mesej dalam lagu ciptaan komposer, Syafiq Khan itu.

"Beberapa hari sebelum lagu ini dilancarkan, kita dikejutkan dengan berita pemergian adik Amir yang meninggal dunia dengan penuh tragis. Secara tak langsung, jalan cerita dalam lagu Surat Akhir juga menyentuh mengenai kematian.

"Ketika lagu ini dilancarkan, saya seperti teringat dengan kisah adik Amir dan masih terngiang-ngiang suaranya dalam video yang saya tonton," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amira, dia juga turut menerima mesej dan reaksi daripada pendengar yang mengakui merasakan kesedihan saat mendengarkan lagu ini.

"Ramai juga yang menghantar mesej kepada saya meluahkan rasa sedih. Ada antara mereka terkenangkan ibu bapa, saudara-mara dan kenalan yang sudah meninggal dunia.

"Selalunya, lagu yang saya keluarkan adalah lagu cinta. Kali ini, mesej yang saya cuba sampaikan adalah mengenai perkara yang memang pasti iaitu kematian.

"Selain mengingatkan kita kepada kematian, kita juga akan sentiasa ingat untuk menghargai orang-orang tersayang," katanya.

Lagu Surat Akhir adalah lagu runut bunyi untuk drama bersiri Marry Me Senorita yang mula ditayangkan di TV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 5:26 PM