Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ezad Lazim kecewa dengan sikap segelintir individu yang menyebarkan khabar angin mengatakan dia meninggal dunia.

Terbaharu, Ezad mendapat tahu mengenai perkara itu apabila dimaklumkan rakan-rakannya, semalam.

"Saya dapat tahu mengenai perkara ini sejak semalam apabila beberapa kenalan mula berkongsi berita ini dan ingin mendapatkan pengesahan.

"Bila keluar benda begini, makcik-makcik di kampung yang risau, tentunya akan menghubungi dan bertanya kepada isteri saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, gambarnya ketika sedang sakit sebelum ini juga pernah disalahguna sesetengah individu tidak bertanggungjawab.

"Bila lihat tajuk artikel itu, ia mengenai saya yang meninggal dunia. Tapi, bila dibaca artikel penuh, ia mengenai kematian adik saya. Tapi, adik saya dah meninggal dunia setahun yang lalu.

"Ini bukan kali pertama sebab sebelum ini pun dah beberapa kali nama saya dipetik dan dikatakan meninggal dunia. 

"Malah, gambar ketika saya sakit dan terlantar di hospital pun pernah disalahguna individu tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Ezad juga menyeru agar masyarakat tidak terus menerus menyebarkan sesuatu berita tanpa usul periksa. 

"Zaman sekarang terlalu ramai golongan yang suka berkongsi tanpa memeriksa kebenaran sesuatu perkara terlebih dulu. Kalau boleh siasat dulu sama ada berita itu benar atau tidak, lebih-lebih lagi berkaitan kematian.

"Ada juga yang menghantar mesej kepada saya di Instagram dan memohon maaf kerana berkongsi berita itu dalam hantaran mereka, kerana menyangka ia berita benar," katanya.

Terbaharu, Ezad kini baru sahaja melancarkan single kerjasama dengan kumpulan nasyid Inteam berjudul Kasihku Abadi 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 9:12 PM