CIK B sasar 3 juta tontonan dalam video muzik lagu sulungnya berjudul Tolonglah.
CIK B sasar 3 juta tontonan dalam video muzik lagu sulungnya berjudul Tolonglah.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Cik B, gembira dengan pencapaian video muzik lagu sulungnya berjudul Tolonglah yang mencatat jumlah tontonan hampir tiga juta dalam masa seminggu selepas dilancarkan.

Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin berkata, dia meletakkan sasaran tiga juta tontonan menjelang penghujung hari ini.

"Sejujurnya saya berasa amat gembira dengan pencapaian diraih lagu ini dan seperti tidak percaya boleh menghasilkan lagu yang mendapat perhatian orang ramai sehingga 'trending'.

"Saya menjangkakan lagu ini akan mencecah tiga juta tontonan hari ini," katanya.

Walaupun lagu Tolonglah bukan dalam genre pilihan ramai pendengar, Cik B mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya.

"Apabila lagu dan video muzik ini dilancarkan, diakui saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk 'trending' sebab saya tahu ada yang tak berapa suka dengan genre lagu ini.

"Apa pun, saya mahu ucapkan terima kasih kepada yang sudah menonton dan menulis komen-komen positif," katanya.

Pada masa sama, Cik B juga menyentuh mengenai lebih 11,000 tanda tidak suka atau 'dislike' yang diberikan di video muzik Tolonglah.

"Bagi yang memberikan tanda 'dislike', saya pun tidak tahu sebab apa. Mungkin mereka tidak tengok lagi tapi dah 'dislike'. 

"Mungkin juga mereka adalah 'haters', jadi, mereka dengki dengan saya. Tidak mengapalah, biarlah mereka puaskan hati sendiri dengan cara itu," katanya.

Cik B juga bakal hadir dengan video lirik menampilkan versi berbeza untuk lagu ciptaannya bersama ibunya, Datuk Seri Vida itu.

Video muzik Tolonglah berkisar mengenai kisah silam Cik B semasa zaman kanak-kanaknya dan menggunakan khidmat pekerja-pekerja ibunya sebagai pelakon.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:55 PM