PENGACARA, Elly (tengah) dan Iman bersama Zizan Razak.
PENGACARA, Elly (tengah) dan Iman bersama Zizan Razak.
Najiy Jefri

BAGI memberi pilihan lebih fleksibel untuk kandungan kreatif alaf baharu di platform digital, buat julung kalinya produksi D'Alphalegacy membawakan program bual bicara berjudul Ballz Talk di platform YouTube.

Sebagai pengenalan, program Ballz Talk yang dikendalikan pengacara Elly Arifin dan Iman Zulkarnain ini bakal menampilkan empat selebriti tanah air sebagai tetamu undangan iaitu Zizan Razak, Iqram Dinzly, Farah Ahmad dan Armada Ammar atau lebih dikenali sebagai Ammar Titan.

Program ini turut mendapat sentuhan kreatif Opie Zami selaku pengarah untuk musim pertama ini.

Lebih istimewa, sesi temu bual eksklusif yang bersifat 'up close & personal' menerusi program Ballz Talk ini juga akan mengetengahkan pelbagai perkongsian penuh emosi dan pengalaman peribadi yang mungkin tidak pernah dikongsikan kepada masyarakat sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif D'Alphalegacy, Diyana Ismail berkata, menghasilkan karya digital bukan mudah seperti yang disangka kerana ia menuntut kemahiran naratif penceritaan yang kreatif supaya kandungan itu mempunyai jalan cerita yang boleh diterima secara global oleh penonton.

BERSAMA Armada Ammar (kiri).
BERSAMA Armada Ammar (kiri).

"Melihat senario sekarang yang sudah beralih ke dunia digital, kami enggan melepaskan peluang untuk menampilkan program yang sesuai dengan penonton. Kami akui berada di landasan digital juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada kami untuk melakukan pelbagai eksperimen kreatif dalam menghasilkan karya unik yang 'up to date' dan mengujakan bagi mendekati penonton.

"Keunikan Ballz Talk terletak kepada kandungan visual yang kompak yang disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital lantas memudahkan penonton untuk mengikut kisah mereka walau di mana mereka berada," katanya.

Diyana berkata, setiap tetamu undangan yang menjayakan program ini dipilih berdasarkan pengalaman mereka sebagai anak seni dan latar belakang kehidupan yang penuh warna-warni bagi menyuntik pelbagai elemen menarik dalam program ini.

"Secara keseluruhannya, kami positif dan yakin dengan kemampuan pengacara yang semakin meningkat naik, Elly Arifin dan Iman Zulkarnain dalam mengendalikan program bual bicara ini yang diharapkan dapat meletakkan penanda aras yang tinggi dalam dunia hiburan serta dapat memberikan inspirasi kepada penonton," katanya.

Episod Program Ballz Talk yang berdurasi 20 minit boleh ditonton di saluran YouTube D'Alphalegacy manakala episod kedua dan seterusnya akan ditayangkan setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:15 AM