MDEC
MDEC
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), berjaya membuka peluang komersial dan penjualan untuk industri kreatif tempatan bernilai RM42 juta menerusi Sidang Kemuncak Kidscreen 2021 yang berlangsung secara dalam talian (online).

Acara ini yang julung kali dianjurkan menyaksikan MDEC memimpin sembilan syarikat kreatif dalam proses membuat keputusan dan memeterai perjanjian untuk membina rangkaian dan memacu perniagaan syarikat terbabit ke pasaran yang lebih luas.

Nilai peluang komersial yang diraih kesemua syarikat berkenaan berjumlah RM27.3 juta, manakala penjualan sebenar sebanyak RM15.1 juta.

Naib Presiden Ekosistem Teknologi dan Globalisasi MDEC, Gopi Ganesalingam berkata, MDEC menyedari situasi yang dihadapi oleh industri kreatif pada masa yang mencabar ini.

"Sokongan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) dan usaha berterusan oleh MDEC juga adalah komitmen jelas kepada industri, sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Malaysia 5.0," katanya dalam kenyataan.

Kidscreen 2021 adalah platform disediakan MDEC dengan menyajikan Program Akses Pasaran & Padanan Perniagaan Kandungan Digital (2P).

2P adalah inisiatif berterusan dalam meraih peluang untuk industri kreatif digital Malaysia ke pasaran domestik dan antarabangsa menerusi Virtual Buyer Fly Ins (VBFI) dan Virtual Business Missions (VBM).

Inisiatif 2P dirancang untuk memberi bantuan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan kandungan kreatif digital dan pengkomersialan IP.

Manfaatnya merangkumi pendedahan syarikat di pasaran antarabangsa, mewujudkan peluang perniagaan serta penjualan dan seterusnya pengkomersialan IP dan perkhidmatan mereka.

Inisiatif 2P dirancang untuk memberi bantuan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan (pekerja untuk disewa) dan pengkomersialan IP.

Manfaatnya merangkumi pendedahan syarikat di pasaran antarabangsa, mewujudkan peluang perniagaan, penjualan dan pengkomersialan IP dan perkhidmatan mereka.

Selain Program Akses Pasaran & Padanan Perniagaan Kandungan Digital (2P), program dan inisiatif MDEC yang lain dalam kandungan kreatif merangkumi Program Pembangunan Perusahaan Kandungan Digital (EDP), Program Streaming Kandungan Kreatif, Pemberian Kandungan Digital Prisma (DCG Prisma) dan Sokongan Teknologi Kandungan Digital Program (BATIK Digital) yang mana kesemuanya menyokong matlamat pakej Prisma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 3:56 PM