PELANCARAN E Media Prima TV Networks memantapkan platform digital TV3 Malaysia. FOTO KhairuL Azhar Ahmad
PELANCARAN E Media Prima TV Networks memantapkan platform digital TV3 Malaysia. FOTO KhairuL Azhar Ahmad
Georgie Joseph


Seiring dengan kuasa industri digital, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) turut mengambil pendekatan menarik penonton menerusi platform YouTube dengan melancarkan program E Media Prima TV Networks.

Mengikat kerjasama dengan jenama hiburan antarabangsa E! News, program berbentuk rangkuman berita infotainmen gaya hidup itu semestinya dinantikan ramai. Bukan saja terkini, segala berita hiburan boleh diikuti menerusi program terbabit.

Mula bersiaran hari ini, setiap Isnin dan Khamis, jam 9 malam di saluran YouTube rasmi TV3 Malaysia, program berkenaan bertujuan memberi hiburan dan informasi terkini terutama buat golongan Gen-Y yang ramai bergantung kepada platform digital.

Menurut Pengarah Jualan dan Strategi MPTN, Nini Yusof, platform digital adalah pilihan terbaik untuk mengetengahkan program ini.

“Sebagai stesen televisyen nombor satu di Malaysia, kami amat teruja dapat bekerjasama dengan jenama E! News yang sangat gah. Tentu sekali kerjasama ini bakal memantapkan industri hiburan di negara kita.

“Program E Media Prima TV Networks adalah pertaruhan terbaharu kami untuk memantapkan kandungan program di platform digital. Kandungan yang kami sajikan berkisar segala informasi terkini baik hiburan, fesyen, gaya hidup dan teknologi.

DATUK Izham Omar (kanan) bersama Johan Ishak (tengah), Pengurus Primeworks Studios, Intan Norbaizura Aliuddin (dari kiri), Pengurus Kumpulan Client Services, Zaida Ismail dan Pengarah Kumpulan Client Services, Nini Yusof. FOTO KhairuL Azhar Ahmad
DATUK Izham Omar (kanan) bersama Johan Ishak (tengah), Pengurus Primeworks Studios, Intan Norbaizura Aliuddin (dari kiri), Pengurus Kumpulan Client Services, Zaida Ismail dan Pengarah Kumpulan Client Services, Nini Yusof. FOTO KhairuL Azhar Ahmad

“Melihat golongan Gen-Y aktif dalam menggunakan platform digital sebagai sumber informasi mereka, kami sasarkan golongan itu sebagai penonton utama. Disebabkan itu, kami percaya YouTube adalah pilihan terbaik untuk menyiarkan program ini,” katanya.

Nini berkata, program itu bertujuan memberi pembaharuan dan elemen segar kepada saluran digital, YouTube TV3 Malaysia.

Katanya, TV3 adalah stesen televisyen nombor satu di Malaysia, jadi sasaran mereka hendak menarik minat individu yang suka menonton TV, pelayar digital dan masyarakat yang menggemari kedua-dua saluran.

“Disebabkan itu, saluran ini hanya disiarkan selama 10 minit di YouTube dan dua minit di TV3.

“Ini kerana ada kandungan yang tidak sesuai disiarkan di TV, kita akan pertontonkan di saluran digital.

“Siaran dua minit di TV lebih kepada menepati piawaian Lembaga Penapisan Filem (LPF) berbanding platform digital,” katanya.

Berkongsi mengenai kandungan pula, semestinya berita tempatan masih tetap jadi keutamaan memandangkan ia lebih relevan kepada masyarakat kita.

ANTARA artis yang turut sama hadir memberi sokongan. FOTO KhairuL Azhar Ahmad
ANTARA artis yang turut sama hadir memberi sokongan. FOTO KhairuL Azhar Ahmad

“Secara nisbahnya, 60 peratus adalah kandungan tempatan yang semestinya lebih relevan kepada penonton kita manakala, 40 peratus kami akan ambil daripada E! News terutama berita antarabangsa,” katanya.

Untuk musim pengenalan, E Media Prima TV Networks akan bersiaran dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis. Program itu menampilkan hos Aaron Al Fateh, Christina Ng dan Tasha Aleai.

Nini juga tidak menafikan berdepan cabaran untuk menerbitkan program itu namun membuat percaturan dengan mengetengahkan hos baru meningkat naik.

“Semestinya sangat mencabar memandangkan kita tidak tahu apa yang penonton harapkan. Bagaimanapun, kami optimis kandungan disajikan bakal menepati cita rasa mereka.

“Kami juga memutuskan untuk mengetengahkan hos baru dan yakin mereka bakal bersinar. Ini disebabkan bakat dan kebolehan mereka sangat relevan dengan penonton muda-mudi,” katanya.

Selain Nini, turut hadir dalam pelancaran itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak dan selebriti terkenal tanah air antaranya Hael Husaini, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Siti Saleha, Nabila Razali serta Alicia Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 4:00 AM