SALAH satu adegan yang dilakonkan Wan Maimunah (kiri) dalam Frontliner.
SALAH satu adegan yang dilakonkan Wan Maimunah (kiri) dalam Frontliner.
Sudirman Mohd Tahir


FILEM televisyen (FTV) Frontliner adalah naskhah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D'Alphalegacy (M) Sdn Bhd ini turut mendapat sentuhan kreatif A'minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh pengarah berkaliber Razif 'Ajiboy' Rashid.

'Frontliner' bakal bersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.

Pengarah D' Alphalegacy (M) Sdn Bhd dan penulis skrip Frontliner, A'minahtul Marrdiah berkata, pihaknya begitu teliti dalam penghasilan karya itu.

"Sebagai pemain baharu dalam industri kandungan kreatif tanah air, kami amat teliti dan komited dalam mengatur strategi percaturan kerana penonton kini semakin bijak menilai karya yang berkualiti dan terbaik untuk tontonan mereka, lebih-lebih lagi dengan lambakan pilihan kandungan di pelbagai platform.

"Kami cukup berbesar hati dan gembira dengan penerbitan naskhah ini yang menjadi antara taruhan awal D'Alphalegacy kerana karya ini bakal menjadi titik tolak permulaan yang positif buat kami.

"Kami juga sedia maklum bahawa kekuatan sesebuah kandungan itu diukur bukan sahaja berdasarkan kualiti produksi yang bermutu tinggi serta naratif penceritaan kuat tetapi juga harus disokong dengan kehadiran nama-nama handalan yang mampu 'berhubung' dengan penonton menerusi watak-watak yang mereka terjemahkan dalam bentuk lakonan yang berkesan," katanya.

AZHAN dan Emma turut berlakon dalam Frontliner.
AZHAN dan Emma turut berlakon dalam Frontliner.

Mengenai pemilihan pelakon, A'minahtul berkata, dia sudah membayangkan lebih awal setiap pelakon yang melakonkan setiap watak.

"Selaku penerbit dan penulis skrip, saya sudah pun membayangkan siapa pelakon sesuai yang akan membawakan watak tertentu sejak mula tercetusnya idea untuk menghasilkan naskhah ini dan bersyukur kerana ia berjalan lancar mengikut perancangan.

"Kombinasi pelakon baharu dan lama yang dipilih adalah berdasarkan kredibiliti, komitmen dan keikhlasan mereka dalam menjayakan setiap watak yang diamanahkan kerana elemen itu adalah tunjang utama yang diperlukan untuk mencipta magis tersendiri bagi mana-mana karya yang dihasilkan.

"Namun begitu, kami juga tidak menafikan bahawa faktor populariti juga penting kerana ia mampu memberi nilai komersial untuk menarik perhatian penonton. Maka, kesemua elemen ini haruslah bergerak seiring demi kualiti yang cemerlang," katanya.

Bagi pengarah, Razif 'Ajiboy' Rashid, apa yang dipaparkan dalam naskhah itu bukanlah tertumpu kepada pengorbanan pejuang barisan hadapan di lapangan tugas tetapi lebih kepada konflik dalaman yang dialami mereka.

ACHEY dalam satu babak filem televisyen Frontliner.
ACHEY dalam satu babak filem televisyen Frontliner.

"Cabaran dan tanggungjawab yang harus mereka pikul amat berat. Namun mereka harus kuat dan tabah untuk terus berjuang. Sebagai mana masyarakat yang kebanyakannya tertekan akibat pandemik Covid-19, golongan barisan hadapan juga turut tertekan kerana mereka juga mempunyai keluarga dan masalah seperti kita yang mungkin tidak disedari oleh orang lain.

"Di sebalik pengorbanan mereka sebagai petugas barisan hadapan, wujud pengorbanan dan konflik dalaman lain di sebaliknya. Selain itu, pelbagai isu-isu sampingan sewaktu fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk isu golongan Kluster Tabligh dan Kayangan yang sebenarnya turut berasa tertekan juga diselitkan untuk merancakkan lagi keseluruhan penceritaan.

"Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini ialah tidak kira apa sahaja rintangan dan dugaan yang melanda, kita tidak boleh menghukum seseorang kerana setiap permasalahan pasti ada sebabnya," katanya.

Barisan pelakon yang terbabit dalam Frontliner adalah Azhan Rani, Emma Maembong, Beto Kusyairy, Farah Ahmad, Achey, Wan Mimunah, Black Hanifah, Ashraf Muslim, Zul Handy Black, Shamsul Danish dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 6:30 AM