AIMAN Hakim bergandingan dengan Zahirah MacWilson dalam drama Curi-Curi Cinta.
AIMAN Hakim bergandingan dengan Zahirah MacWilson dalam drama Curi-Curi Cinta.
Najiy Jefri


SEMPENA Ramadan, stesen televisyen berbayar Astro tampil dengan pelbagai pengisian menarik dan penuh bermanfaat menerusi seleksi program hebat di setiap platform naungannya seperti televisyen, radio, digital dan aktiviti lapangan.

Berlandaskan lima teras utama, keredaan, kasih sayang, kebahagiaan, kesyukuran dan jalinan persaudaraan, Astro tampil dengan tema Sempurna Seadanya yang melatari kempen Ramadan tahun ini.

Tema terbabit dilihat mampu menterjemahkan mesej positif merentasi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, etnik dan agama.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Astro Citra dan Tayangan Hebat, Emarina Kamal, 75 program menarik menanti penonton Ramadan ini dengan jumlah keseluruhan durasi tayangan selama 267 jam.

“Bersempena kedatangan bulan yang penuh berkat ini, Astro menghargai pelanggan dengan mengaktifkan beberapa pendekatan termasuk menerusi sajian kandungan terkini yang padat dengan nilai murni di setiap platform.

“Ramadan tahun ini tidak terkecuali apabila kami menyusun seleksi program sarat dengan mesej positif yang boleh dijadikan refleksi diri agar kita menjadi insan lebih unggul.

“Sebanyak 75 program menarik menanti penonton Ramadan ini. Untuk tahun ini, kami menawarkan banyak program baharu dengan jumlah keseluruhan durasi tayangan selama 267 jam yang 54 peratus lebih tinggi daripada tahun lalu.

“Ia merangkumi program keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, sketsa, animasi, komedi dan rancangan khas seperti variasi, travelog serta bual bicara.

MIRA Filzah.
MIRA Filzah.

Televisyen

Menerusi platform televisyen, pelbagai naskhah terbaik disajikan kepada penonton sepanjang Ramadan ini.

Antaranya drama Curi-Curi Cinta, Imaan, serta program masakan Resipi Mak Esah dan Michael Ang’s Halal Kitchen yang bersiaran di Astro Ria.

Bagi saluran Astro Warna, pelbagai program pecah perut bakal disajikan kepada penonton antaranya Sepahtu Reunion Al-Puasa 2019, Stagecom 3 Dara Pingitan gabungan Sherru Al Hadad, Scha Al Yahya dan Sharifah Sakinah dan juga sketsa Islamik, Ustaz Evo bersama PU Azman.

Lebih mengujakan Astro Citra turut me­nyiarkan drama bersiri U start Enjin yang menampilkan Fattah Amin dan Mira Filzah serta 4 Penjuru lakonan Sabri Yunus, Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Fizz Fairuz.

Saluran gaya hidup Muslim, Astro Oasis turut menghiasi bulan mulia ini dengan aneka program hebat seperti Tanya Cik Man, Jejak Adam, Door to Door Ebit Liew dan Skuad Dekorasi Amal.

Selain platform televisyen, radio di bawah naungan Astro seperti Era FM, Sinar FM, Zayan dan Gegar turut sama memeriahkan kempen Ramadan 2019 dengan beberapa peraduan.

Platform Digital

Tidak ketinggalan memeriahkan Ramadan adalah plaform digital milik Astro iaitu Gempak, Rojak Daily, Behind the Wheel serta Drebar.

Antara program menarik yang disediakan adalah Celup, Iftar Ala King, Sah To Share 2.0, dan Gema Azan di platform Gempak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:00 AM