ALENA Murang.
ALENA Murang.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pemuzik sape, Alena Murang, 31, dicalonkan dalam dua kategori iaitu Video Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Tatarias Terbaik di Festival Muzik Video Buenos Aires yang akan berlangsung secara virtual pada 27 hingga 29 November ini di Argentina.

Alena juga bakal bersaing dengan Ratu Pop dunia, Madonna dalam kategori Video Antarabangsa Terbaik menerusi muzik video lagu Midang Midang (Leaves in the Sun), manakala Madonna menerusi lagu Crave.

Alena berkata, pengiktirafan itu membuktikan bahawa perjuangannya memartabatkan seni muzik budaya orang Ulu Sarawak berada di landasan yang tepat walaupun pendekatannya berbeza dengan muzik arus perdana.

"Pencapaian serta pencalonan ini menandakan kita mengambil jalan yang betul. Tak dapat dinafikan, cara berkarya dan hasil kerja saya sebagai artis berbeza dengan pengkarya seni arus perdana yang lain.

"Saya bermain sape, menyanyi lagu bahasa yang berdepan ancaman pupus serta setiap hasil karya saya mesti kena memasukkan cerita tradisi kaum orang Ulu. Sebagai artis, saya tidak adanya rujukan tertentu dan berkarya mengikut usaha sendiri," katanya.

Penyanyi kelahiran Sarawak itu berkata, pencalonan itu adalah hasil kerja keras bersama pasukan yang terbabit dalam penghasilan muzik video berkenaan.

"Saya harus berterima kasih kepada pengarah dan penata rias, Lois Dorai, serta penerbit bersama, Fabian Joseph. Ramai yang bekerja keras dengan penuh kesungguhan dalam penghasilannya demi memartabatkan budaya kita ke pentas dunia.

"Semestinya, pencapaian ini sangat-sangat berharga serta berbaloi dengan kerjasama yang diberikan semua pihak. Ia sekali gus menggalakkan kami untuk terus berkarya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 12:56 PM